Ibu berulang kali pesan jaga adik sebelum ‘pergi’ selamanya

1 week ago 11

KULIM – Pasangan suami isteri yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi Kawasaki GTR1400 yang mereka naiki terbabit kemalangan di Chumphon, Thailand pagi semalam selamat dikebumikan dalam satu kubur, awal pagi ini.

Jenazah Mohd. Sofi Ismail dan isteri, Zaimima Ismail, masing-masing berusia 43 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul ‘Ulum Merbau Pulas, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi.

Terdahulu, jenazah pasangan yang mengusahakan kedai makan di Pongsu Seribu, Kepala Batas di Pulau Pinang itu dibawa keluar dari Danok,Thailand pada pukul 1.10 pagi dan dibawa pulang ke rumah keluarga Zaimima di Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas untuk dimandi dan dikapankan.

Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri dilaporkan maut selepas terlibat kemalangan di Chumphon, Thailand pada Isnin.

Sementara itu anak lelaki mangsa Mohd. Danial Ikmal, 21, ketika ditemui berkata, perbualan terakhir dengan ibunya adalah melalui panggilan telefon sehari sebelum kemalangan.

Katanya, ibu berulang kali meminta supaya dia menjaga adiknya Mohd. Danial Irfan,13, dengan baik.

“Sejak ibu pergi ‘ride’ Ahad lalu bersama dua lagi pasangan kawan mereka, kami setiap hari berhubung sama ada melalui panggilan telefon atau panggilan video. Ibu hanya menceritakan keindahan alam dan keseronokan dibawa bapa ke Thailand.

“Namun pada hari akhir mereka dijangka pulang ke Malaysia, ibu tidak henti-henti berpesan supaya saya tidak mengabaikan adik,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian ibu bapanya pada pagi ini.

Menurut Mohd. Danial Ikmal, dia mula rasa tidak sedap hati apabila ibunya turut memaklumkan yang mereka mungkin akan berada lama di Thailand sedangkan mengikut apa yang diketahui, ibu bapanya hanya melancong ke negara itu selama seminggu sahaja.

“Sungguh saya rasa pelik apabila ibu bercakap demikian seolah-olah akan meninggalkan kami dua beradik untuk selamanya.

“Akhirnya apa yang dikatakan ibu menjadi nyata apabila saya menerima panggilan whatsApps dari bapa saudara memberitahu ibu bapa maut dalam kemalangan di Thailand pagi semalam,” katanya yang bekerja sebagai pembantu di kedai makan ibu bapanya.

Bagi anak kedua pasangan itu, Mohd. Danial Irfan berkata, dia terkejut apabila bapanya beria-ia ingin memeluknya sebelum memulakan perjalanan ke Thailand

“Sebelum ini bapa tidak pernah berbuat demikian setiap kali dia keluar menunggang motosikal bersama ibu.

“Saya terkilan kerana pelukan bapa merupakan pelukan terakhir sebelum dia dan ibu maut dalam kemalangan itu,” katanya yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, Pulau Pinang itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |