Ibu bapa naikkan ‘banner’ desak penukaran guru besar bermasalah

1 week ago 12

PETALING JAYA – Kecewa dengan tindakan yang dikatakan lambat diambil pihak berkuasa, sekumpulan ibu bapa tampil memasang ‘banner’ (kain rentang) di hadapan sebuah sekolah bagi mendesak penukaran guru besar didakwa bermasalah.

Menurut perkongsian di Facebook, Mohd Fadli Salleh, ibu bapa berkenaan telah beberapa kali membuat laporan melalui Sistem Pengurusan Aduan Sekolah (Sispa), emel ke unit integriti, Kementerian Pendidikan (KPM), pengarah jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah (PPD), namun tiada tindakan konkrit diambil.

Ibu bapa berkenaan mendakwa, ketegangan antara warga sekolah dan guru besar terbukti apabila guru-guru sepakat membatalkan program Hari Karnival yang biasanya diadakan untuk kutipan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Guru-guru tidak serasi dengan guru besar sehingga kerja-kerja semasa karnival termasuk jualan air dan rumah hantu ditangguhkan. Guru besar pula dilaporkan melenting dan mengugut untuk membuat laporan kepada jabatan kerana guru-guru dikatakan ingkar arahan,” dakwa guru terbabit.

Selain itu, Mohd Fadli turut berkongsi terdapat insiden lain yang membuatkan guru-guru di sekolah terbabit kurang senang dengan sikap guru besar berkenaan.

Katanya, ia mengenai kutipan sumbangan guru-guru untuk membeli hadiah kepada pengendali kantin sekolah selepas kontrak berniaga individu itu tamat

“Guru-guru dikatakan membuat kutipan wang sesama mereka untuk membeli hadiah tanda penghargaan, namun guru besar dikatakan mengarahkan agar kutipan tersebut dihentikan serta-merta,” kongsinya.

Menerusi tangkap layar WhatsApp yag dimuat naik bersama hantaran di Facebook Mohd Fadli, memaparkan aduan dari wakil ibu bapa yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila guru besar berkenaan melarang pasukan bola sepak sekolah menyertai pertandingan anjuran PPD.

“Pasukan ini telah lama menjalani latihan secara konsisten di bawah bimbingan jurulatih yang berdedikasi. Malah, sekolah pernah mendapat tempat naib johan MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah) tahun ini, hasil usaha gigih para pemain dan bimbingan jurulatih yang berpengalaman.

“Oleh itu, saya amat kesal dengan keputusan yang dibuat kerana ia menjejaskan peluang anak-anak yang telah berusaha keras selama ini. Keputusan untuk tidak membenarkan penyertaan mereka amat mengecewakan dan boleh mematahkan semangat murid yang benar-benar berbakat,” adu ibu bapa tersebut.

Menurut Mohd Fadli, ibu bapa terbabit dikatakan berasa kesal kerana walaupun laporan telah dibuat berulang kali, tiada sebarang tindakan disiplin diambil terhadap guru besar berkenaan.

“Ramai ibu bapa berharap agar pihak KPM memberi perhatian serius terhadap isu ini dan memindahkan guru besar bermasalah ini demi kesejahteraan murid dan guru,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |