Ibu bapa budak 3 tahun lemas disiasat kes pengabaian

14 hours ago 3

ALOR GAJAH – Polis akan memanggil ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditemukan lemas di kolam renang sebuah rumah inap di Durian Tunggal bagi membantu siasatan, petang ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas polis mendapati terdapat unsur pengabaian dalam kejadian tersebut.

“Mangsa telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.45 malam, kelmarin.

“Susulan itu, kedua-dua ibu bapa mangsa akan dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) bagi kesalahan mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, sabit kesalahan, pesalah hukuman boleh mencecah penjara 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, laporan berhubung kejadian diterima pihak polis pada pukul 2.12 pagi dan siasatan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui lemas di dalam kolam sebuah rumah inap di Durian Tunggal ketika meraikan program hari keluarga.

Menurut sumber, mangsa bersama ibu bapanya serta tujuh lagi keluarga bertolak dari Temerloh ke Melaka dengan menaiki sebuah bas bagi meraikan program hari keluarga pada Jumaat lalu.

Katanya, secara keseluruhan, rombongan itu terdiri daripada kira-kira 35 individu termasuk 20 kanak-kanak sebelum mereka menginap di rumah inap berkenaan yang dilengkapi kemudahan kolam renang.

“Mangsa dipercayai telah terjatuh ke dalam kolam tidak lama selepas keluarga tersebut selesai mengadakan penyampaian hadiah acara sukaneka pada pukul 10 malam.

“Insiden yang menimpa kanak-kanak itu disedari bapa saudaranya pada pukul 10.50 malam apabila terlihat mangsa dalam keadaan terapung di dalam kolam,” katanya.

Ujarnya lagi, ahli keluarga cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ambulans, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Sumber turut memaklumkan, ketika kejadian bapa mangsa berada di bahagian belakang rumah menyediakan barbeku, manakala ibu mangsa berusia 36 tahun mendakwa kali terakhir melihat anaknya kira-kira pukul 9 malam ketika kanak-kanak itu naik ke bilik atas untuk bermain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |