PUTRAJAYA – Hukuman penjara 16 tahun pemandu Toyota Innova yang tular melanggar pemandu Perodua Axia, Syed Muhammad Danial Syed Syakir di sebuah lebuh raya enam tahun lalu, dikurangkan kepada 12 tahun oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan akhir Yew Wei Liang, 47, untuk mengurangkan hukuman penjara 16 tahun itu selain mengekalkan sabitan terhadap kes tersebut.
Dalam prosiding sama, panel turut menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk mengembalikan kes itu dari Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan turut menolak rayuan pihak pembelaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.
“Mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam sabitan (mahkamah sebelum ini) namun hukuman itu agak tinggi (pemenjaraan 16 tahun) ,”kata hakim Nordin.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Swee Seng.
Sejurus selepas keputusan itu, Wei Liang yang juga bekas pekerja teknologi maklumat (IT) dilihat menangis selepas rayuannya untuk mengurangkan hukuman dibenarkan.
Semasa prosiding peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee bertindak sebagai responden.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Rayuan di sini menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap Wei Liang selepas menolak rayuannya untuk mengurangkan hukuman penjara 16 tahun itu selain mendapati keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman itu adalah betul.
Pada 7 Disember 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman penjara 16 tahun selepas mendapati Yew Liang yang juga bekas pekerja teknologi maklumat (IT) itu bersalah melanggar sehingga menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial.
Mengikut pertuduhan asal, Wei Liang didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, 29, yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, ketika membaca keputusan kes, Hakim Julia Ibrahim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Hakim itu, berkata, dalam menentukan hukuman yang wajar dikenakan ke atas tertuduh, mahkamah mengambil kira faktor-faktor mitigasi, antaranya latar belakang, kesalahan pertama dan kerjasama tertuduh semasa siasatan. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1









![[VIDEO] ‘Pengajaran paling bernilai dia dapat, gunakanlah seat belt’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-03-at-10.49.31-AM.jpeg)







































