KUALA LUMPUR – Hujan lebat selama lima hari di Pantai Timur minggu lalu sehingga menyebabkan banjir bersamaan dengan purata hujan untuk enam bulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hujan lebat antara 26 dan 30 November itu adalah di luar jangkaan sehingga sebilangan besar penduduk di Kelantan serta Terengganu terpaksa dipindahkan ke Pusat Perlindungan Sementara (PPS).
Beliau berkata, di Kelantan antara 26 hingga 30 November dari stesen hujan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di Tanah Merah, Tumpat dan lain-lain bacaan hujan ada yang mencecah lebih daripada 1,167 milimeter (mm) yang mana merupakan rekod hujan yang terlalu tinggi menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Di negeri Terengganu umpamanya, dari JPS dan MetMalaysia umpamanya, kalau MetMalaysia rekod di daerah Besut, mencatatkan jumlah hujan sebanyak 1,761mm, itu dalam tempoh lima hari dan secara umumnya mencatatkan 1,439mm.
“Jadi memang jauh luar daripada jangkaan. Maknanya lima hari kadar hujannya itu lebih daripada enam bulan biasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Nawi (PN-Tumpat) yang ingin tahu adakah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepatkan untuk membolehkan semua mega fasiliti mitigasi banjir disegerakan termasuk LPT3 ke Pantai Timur sehingga ke Tumpat, Kelantan.
Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan akan meneliti cadangan daripada hasil kajian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) untuk membina tebing tinggi di seluruh kawasan pantai bagi mengatasi masalah banjir.
“Ada cadangan saya ingat lama dah 20 tahun lebih yang lepas, dicadangkan oleh Kerajaan Jepun iaitu projek JICA umpamanya untuk mengatasi masalah banjir di pantai barat (Malaysia) dan ketika itu tahun 90-an, keperluan perbelanjaan itu sudah mencecah RM10 bilion, sekarang mungkin dah RM20 bilion.
“Antara lain kajian JICA untuk bina tebing-tebing tinggi di seluruh kawasan pantai. Sudah tentu ini akan mengambil masa dan mudah-mudahan bila keadaan ekonomi yang jauh lebih kukuh, selesai masalah tebatan banjir kita,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis).
Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan selain mengucapkan takziah kepada mangsa dan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera Kerajaan dan penjawat awam yang terlibat.
“Seramai 80,000 orang penjawat awam yang telah turun membantu di setiap lapangan dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain yang tidak boleh saya sebutkan dan kerjasama padu di antara seluruh jentera Kerajaan Persekutuan, negeri, bandaran atau Pejabat Daerah atau jajahan.
“Kita dapati mutakhir ini, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICS), syarikat-syarikat Kerajaan telah juga terlibat secara langsung dan sektor swasta serta NGO termasuk sukarelawan yang puluhan ribu telah turun sedia membantu,” katanya – KOSMO! ONLINE