PETALING JAYA – Hubungan diplomatik erat dan persahabatan antara Malaysia dan Bahrain diyakini mempunyai potensi besar untuk diperkukuh, khususnya dalam bidang ekonomi serta pembangunan masa hadapan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa Bahrain merupakan rakan strategik penting Malaysia, sekali gus membuka ruang kerjasama yang lebih luas seiring aspirasi Visi Ekonomi Bahrain 2030.
“Bahrain dan Malaysia saling menghormati, dan mempunyai semangat persaudaraan, di samping berkongsi nilai-nilai, aspirasi serta komitmen kepada keamanan, kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat. “Saya harap lawatan saya kali ini akan membuka lembaran baharu dalam membentuk hala tuju masa hadapan perhubungan kedua-dua negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam titah ucapan sebelum diraikan dalam satu majlis santapan negara oleh Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa di Istana Sakhir, malam tadi.
Dalam majlis sama, Raja Hamad turut bertitah menzahirkan komitmen ke arah menjadi rakan strategik jangka panjang yang ikhlas dan membina untuk Malaysia dengan mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Pertumbuhan Malaysia yang memberangsangkan telah dicapai melalui kecemerlangan dalam bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian, bidang-bidang yang turut menjadi kekuatan Bahrain.
“Oleh itu, kita mempunyai banyak peluang untuk saling memperoleh manfaat dalam sektor seperti perbankan, teknologi kewangan (fintech), pelancongan, pertanian dan pembangunan infrastruktur.
“Tuanku dan negara Tuanku telah menjadi saudara serta sekutu setia kepada Bahrain, dan dengan memperbaharui penghargaan atas kunjungan Tuanku ini, saya dengan tulus berharap agar persahabatan kita akan terus berkembang dan makmur pada tahun-tahun yang akan datang,” titah Raja Hamad.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Istana Sakhir, Zallaq telah disambut oleh Raja Hamad bersama Putera Mahkota, Putera Salman Hamad Al-Khalifa merangkap Perdana Menteri Bahrain serta Keluarga Diraja Bahrain.
Berangkat sama mengiringi keberangkatan Sultan Ibrahim ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda tiba di Bahrain pada Khamis, selepas menyempurnakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.
Lawatan ini merupakan lawatan negara keenam Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi, sekali gus menjadi detik bersejarah hubungan Malaysia-Bahrain sebagai lawatan diraja pertama sejak 1974. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
6










![[VIDEO] Kucing teman penghantar makanan curi tumpuan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-hantaran-pengguna-TikTok-memaparkan-kucing-berwarja-oren-menemani-penghantar-makan-dipercayai-tuannya-mencari-rezeki..jpeg)






































