Hormati proses yang sedang berjalan

9 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu semua pihak menghormati proses yang sedang berjalan berhubung isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Sebagai mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Baginda enggan mengulas lanjut namun percaya kebenaran pasti akan muncul daripada pihak bertanggungjawab.

“Saya rasa tidak perlu untuk saya mengulas kerana ramai sudah memberi pandangan. Untuk lebih adil, biarlah proses ini berjalan seperti sepatutnya.

“Biar kebenaran didedahkan dan datang daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pada Majlis Walk With King Of Sport di Stadium Merdeka, hari ini.

Keberangkatan Baginda ke acara yang menghimpunkan 150 tetamu jemputan termasuk beberapa lagenda sukan tanah air turut diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara lagenda sukan negara yang menyertai acara dianjurkan agensi perhubungan awam sukan dan penjenamaan, ShekhinahPR dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu adalah Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann (bola sepak), Datuk Rashid Sidek dan Datuk James Selvaraj (badminton), Nor Saiful Zaini Nasiruddin (hoki), G. Shanti (olahraga) dan Datuk Leong Mun Yee (terjun).

“Sudah tentu perkara ini perlu menjadi ingatan kepada semua pada masa akan datang. Kita semua mesti membetulkan keadaan demi kebaikan bola sepak negara.

“Ini bukan masa untuk menuding jari. Kita perlu bangkit daripada kegelisahan dan masalah yang sedang melanda bola sepak kita dengan semangat baharu,” katanya.

Sebelum ini, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain berkenaan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |