Hoe Yean ada misi besar di Sukan Asia

7 hours ago 7

PERENANG sensasi negara, Khiew Hoe Yean tidak berselindung mengakui cabaran besar yang menantinya di Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini, terutama dalam usaha memecah dominasi perenang China dan Korea bagi merebut tempat di pentas podium.

Atlet berusia 23 tahun itu bagaimanapun tetap optimis untuk mencipta kejutan meskipun menyedari jurang prestasi dan fizikal yang wujud antara dirinya dan pencabar utama pada temasya empat tahun sekali.

“Pada Sukan Asia lalu saya di tempat keempat, hanya 0.3 saat (s) di belakang podium. Kali ini persaingan lebih sengit kerana dua perenang China sangat laju dan berpotensi memenangi emas.

“Boleh dikatakan tempat satu hingga tiga sudah ada ‘slot’, tetapi saya harap dapat tingkatkan prestasi dan cuba menyelinap ke podium,” katanya.

Hoe Yean berkata, persiapan ke temasya tersebut kini berjalan lancar selepas mendapat petunjuk positif daripada aksi di Terbuka Malaysia pada April.

“Saya memang ada perancangan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Untuk Komanwel belum pasti, tetapi Sukan Asia saya yakin akan sertai kerana sudah layak sejak tahun lalu,” ujarnya.

Pada kejohanan itu, Hoe Yean membuktikan statusnya sebagai antara sandaran utama negara apabila merangkul bersih sembilan pingat emas daripada tujuh acara individu dan dua acara berganti-ganti.

Tambahnya, catatan peribadi terbaiknya ketika ini ialah 1 minit 47.81s bagi 200m dan 3:47.38s bagi 400m, dengan rekod kebangsaan hanya dimilikinya dalam acara 400m.

Dalam masa sama, Hoe Yean turut mengakui kelebihan fizikal menjadi antara faktor utama yang membezakan dirinya dengan perenang elit Asia.

“Mereka lebih tinggi dan besar, itu kelebihan fizikal yang jelas. Saya hanya 180cm, mereka sekitar 190cm. Itu perkara yang tidak boleh diubah. Apa yang saya boleh lakukan ialah bekerja lebih keras dan cuba bersaing dengan mereka,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |