PETALING JAYA – Di sebalik reputasinya sebagai antara makhluk laut paling berbisa di dunia, ubur-ubur kotak (box jellyfish) mempunyai satu musuh semula jadi yang mampu ‘melahapnya’ seperti snek iaitu penyu laut.
Menurut perkongsian Public Health (PHM) di Facebook, penyu laut atau dikenali sebagai penyu belimbing merupakan pemangsa semula jadi spesies ubur-ubur berbahaya itu.
Haiwan tersebut mampu menelan ubur-ubur kotak tanpa cedera berbeza dengan manusia yang boleh tumbang hanya dengan satu sengatan.
“Penyu tersebut langsung tidak terkesan dengan racun ubur-ubur kotak. Ini kerana bahagian mulut dan tekaknya dilindungi kulit tebal serta lapisan mukus yang menghalang sel sengat (nematocyst) daripada meletup.
“Penyu juga bijak memulakan gigitan pada bahagian loceng ubur-ubur iaitu kawasan yang paling kurang tentakel sebelum menelan mangsa lembut itu tanpa risiko kecederaan,” kata PHM.
PHM menjelaskan, struktur dalaman mulut penyu direka khusus untuk memegang dan menelan mangsa seperti ubur-ubur.
“Tekaknya dipenuhi duri halus dipanggil papillae yang menghala ke dalam, membentuk seakan lorong berduri satu hala. Duri ini membantu memastikan ubur-ubur yang licin tidak terlepas ketika ditelan, selain menghalang tentakel berbisa daripada mencederakan penyu,” katanya.
Bagaimanapun, PHM turut menegaskan peningkatan kejadian ubur-ubur di kebanyakan kawasan laut berpunca daripada kenaikan suhu laut, jumlah penyu yang semakin berkurangan, pencemaran dan limpahan nutrien, penangkapan ikan berlebihan serta berlaku kerosakan kawasan pantai dan habitat.
“Apabila ekosistem terganggu, spesies seperti ubur-ubur yang membiak dengan cepat akan mengambil alih, menjadikan pantai lebih berisiko dan mengganggu rantaian makanan laut.
“Laut tidak berubah dengan sendiri. Yang berubah ialah tangan manusia,” jelas PHM.
Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Russia, Vladimir Iakubanets, 2, meninggal dunia pada pukul 9.46 pagi selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kelmarin.
Kanak-kanak tersebut sebelum itu disengat obor-obor ketika mandi di Pantai Chenang, Pulau Langkawi pada Sabtu lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md Yasin berkata, sebanyak 102 kes sengatan obor-obor direkodkan di perairan Pulau Langkawi dalam tempoh tiga tahun, dengan tahun lalu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 73 mangsa.
Khairul berkata, faktor perubahan cuaca dan ribut turut menjadi punca kemunculan obor-obor kotak di sekitar perairan Langkawi kebelakangan ini kerana spesies itu jarang ditemui sebelumnya. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
17










![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)






![[VIDEO] Positif dadah, pemandu lori lawan arus 150 km ditahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/lori-lawan-arus.jpeg)

![[VIDEO] ‘Bukan pandang belakang kak, pandang depan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/konvo-utim.jpeg)





























