WASHINGTON – Pakar-pakar kesihatan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa wabak selesema burung semakin tidak terkawal di negara itu sekali gus meningkatkan risiko tercetusnya pandemik baharu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Setakat ini, wabak H5N1 di negeri-negeri AS telah menjejaskan hampir 1,000 ternakan lembu tenusu dan mengakibatkan lebih 70 kes melibatkan manusia. Ia termasuk kematian pertama yang disahkan.
Pakar virus memberi amaran tentang jangkitan berulang yang berpotensi membawa maut kepada mamalia lain sekali gus menandakan potensi wabak.
Kini, sebuah pasukan pakar antarabangsa dari Rangkaian Virus Global (GVN) memberi amaran bahawa industri ternakan AS berada pada risiko ketara.
Ia menyeru usaha segera dilakukan untuk memahami dan mengelak penularan bagi mencegah penyebaran kepada manusia.
Pakar virologi di Universiti Missouri, Dr. Marc Johnson memberi amaran bahawa virus itu ‘berusaha keras’ untuk menjadi pandemik.
“Ia pasti mendapat banyak peluang,” katanya.
Gejala yang lebih ringan bagi selesema burung termasuk batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot atau badan, sakit kepala, keletihan sesak nafas atau kesukaran bernafas.
Sama seperti Covid, jangkitan virus selesema burung pada manusia tidak boleh didiagnosis dengan simptom dan gejala klinikal sahaja. Sebaliknya, ujian makmal perlu dilakukan.
Pada Januari lalu, pegawai AS melaporkan kematian pertama selesema burung melibatkan manusia di negeri Louisiana.
Pesakit dimasukkan ke hospital dengan gejala pernafasan yang teruk.
Analisis genetik jangkitan pesakit mencadangkan bahawa virus selesema burung telah bermutasi semasa ia berada di dalam badannya, seterusnya menyebabkan penyakit dialaminya lebih teruk. – AGENSI