MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola seperti mendapat kejutan terbesar daripada anak-anak buahnya pada perlawanannya ke-1,000 dalam karier kejurulatihannya.
Prestasi dipamerkan The Citizens ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi semalam nyata sesuatu di luar jangka Guardiola apabila tampil lebih garang sepanjang perlawanan.
“Saya dapat rasakan tenaga kami sudah pun kembali dan kami seperti sukar diramal ketika melakukan serangan serta bertahan. Pastinya ini adalah bagus kerana pasukan lawan pasti tidak akan tahu apa yang kami lakukan.
“Ia tidak berlaku musim lalu dan saya fikir, empat kejuaraan berturut-turut memberikan kesan buruk kepada kami. Ia boleh difahami tetapi sejak Piala Dunia Kelab, saya dapat rasakan sesuatu yang berbeza.
PARA pemain City meraikan jaringan Gonzalez (dua dari kiri) dalam kemenangan ke atas Liverpool awal pagi semalam. – AFP“Perasaan seperti ini menyaksikan kami mula bangkit dalam banyak perkara. Terima kasih kepada pemain dan kakitangan kelab kerana berikan hadiah hebat kepada saya ketika menentang lawan seperti Liverpool,” katanya.
Walaupun dipalit kegagalan menyempurnakan sepakan penalti, bintang dari Norway, Erling Haaland pantas mengubat kekecewaan untuk membuka jaringan pertama sebelum Nico Gonzalez dan Jeremy Doku melengkapkan kemenangan buat City.
Selepas mengharungi 11 perlawanan, City kini mengutip 22 mata di tangga kedua, empat mata di belakang pilihan utama yang kini mendahului carta liga, Arsenal yang dipalit keputusan seri 2-2 dengan Sunderland pada Sabtu lalu. – AGENSI

2 weeks ago
18

















































