Graduan kini perlu teguh jati diri, akhlak hadapi cabaran dunia moden

1 day ago 6

KUALA LUMPUR – Graduan hari ini bukan sahaja perlu memiliki kepakaran teknikal dan akademik, tetapi kekuatan nilai moral serta jati diri untuk berdepan cabaran dunia moden yang semakin mencabar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dunia hari ini menyaksikan gejala keruntuhan akhlak, kekeliruan identiti serta nilai akibat perkembangan teknologi dan kehidupan moden yang pantas, sekali gus menuntut graduan memiliki asas agama, akhlak dan integriti yang kukuh.

“Kita berhadapan dengan dunia yang begitu mencabar hari ini dan masa depan. Sebab itulah nasihat saya kepada graduan-graduan ini semua, bukan sekadar anda menjadi duta MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), tetapi jati diri anda mestilah diikat dan didukung padu oleh pegangan agama yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-22 UniKL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau yang juga dan Pro-Canselor UniKL berkata, kadar kebolehpasaran graduan UniKL kini melebihi 97.4 peratus, mencerminkan reputasi kukuh institusi itu dalam kalangan majikan dan industri.

“Ini membuktikan bahawa program UniKL bukan sekadar akademik tradisional, sebaliknya mengintegrasikan keperluan pasaran melalui kerjasama strategik dengan badan profesional dan industri, baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Beliau menambah bahawa pendekatan UniKL Unicare menekankan bukan sahaja kecemerlangan akademik, tetapi juga pembinaan diri, kemahiran teknikal lanjutan, serta akhlak dan sahsiah yang tinggi.

“Kita mahu para graduan menjadi pemimpin dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Kepimpinan bermula dalam diri dengan kejujuran, dengan usaha yang ikhlas, dan rasa tanggungjawab terhadap amanah yang dipikul,” katanya.

Terdahulu, pada sesi keempat itu, UniKL meraikan 773 orang graduan dari empat buah kampus UniKL iaitu dari UniKL Malaysian Spanish Institute, UniKL Business School, UniKL British Malaysian Institute dan UniKL Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology.

Turut diraikan ialah para graduan yang telah mengikuti Program Huffaz Technologist di UniKL. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |