SHAH ALAM – Sejumlah 230 pertuduhan penggubahan wang haram (AMLA) bernilai lebih 2.41 juta membabitkan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.
Ini melibatkan Nasiruddin Mohd. Ali, 66, dengan 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 dan tiga bekas akauntan GISBH iaitu Hamimah Yakub, 73 melibatkan 59 pertuduhan dengan nilai RM2,145,357.62).
Selain itu, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, sebanyak 43 pertuduhan berjumlah RM3,806,392.01 dan 51 pertuduhan membabitkan RM8,136,047.51 dihadapi suaminya Mohd. Khushairi Osman, 54.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggabungkan kes agar dibicarakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.
Sebutan semula kes juga ditetapkan pada 29 Januari 2026.
Terdahulu pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dalam permohonannya memaklumkan ia akan menjimatkan kos dan masa pihak-pihak yang terlibat serta memudahkan kehadiran saksi serta pihak-pihak terlibat.
“Ini seterusnya membantu dalam persediaan pra perbicaraan dan melancarkan perjalanan perbicaraan,” katanya.
Permohonan itu dibantah peguam Nurainaa Kamilah Zalizan mewakili Hamimah dan Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili tiga tertuduh lain.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa menerima dan memindahkan hasil aktiviti haram melibatkan beberapa akaun antaranya milik akaun milik tertuduh sendiri, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tour Sdn Bhd dan sebuah pusat penjagaan kanak- kanak di Bandar Baru Bangi, Rawang dan Subang Perdana antara 2020 hingga 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
19

















































