Gagal hadir ke mahkamah, bekas suami Raja Azura berdepan waran tangkap

1 hour ago 1

SHAH ALAM – Bekas suami kepada pengacara Raja Azura iaitu Adzmin Osman bakal berdepan waran tangkap sekiranya masih gagal hadir ke mahkamah bagi kes tuntutan tunggakan nafkah tiga anak mereka.

Menurut peguam syarie mewakili Raja Azura, Mohammad Amirul Hanizan, iklan pencarian sudah diterbitkan melalui sebuah lakhbar pada 26 November lalu namun Adzmin selaku pihak defendan masih gagal memberi sebarang respons.

“Hari ini saya sudah berjumpa Pendaftar Mahkamah dan menghantar laporan mengenai iklan atau notis pencarian yang diterbitkan dalam akhbar pada 26 November lalu.

“Saya sudah laporkan dan mahkamah berpuas hati dengan iklan tersebut.

“Hari ini, mahkamah menetapkan tarikh seterusnya pada 19 Januari depan untuk berjumpa hakim sebelum memberi kebenaran melaksanakan saman penghutang penghakiman,” katanya.

Tambahnya, keputusan masih boleh dilaksanakan walaupun Adzmin gagal hadir ke mahkamah.

“Pihak defendan sepatutnya hadir hari ini namun tiada.

“Jika defendan hadir, hakim akan meneliti atau siasat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan perintah untuk kebenaran melaksanakan saman penghutang penghakiman.

“Jika defendan tidak hadir, mahkamah boleh membenarkan apa yang dituntut oleh pemohon,” katanya lagi.

Ujarnya, usaha menjejaki dan mencari Adzmin tetap perlu dilakukan untuk memastikan kes tuntutan nafkah tiga anaknya berjalan lancar.

“Sekiranya defendan gagal ditemui, mungkin ada jalan lain seperti memohon waran tangkap.

“Namun, usaha untuk menjejaki defendan tetap perlu dilakukan seperti yang dinasihatkan pengamal undang-undang dan mahkamah,” jelasnya.

Raja Azura pada 10 September lalu memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak mereka bercerai 15 tahun lalu.

Raja Azura dan Adzmin yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 namun bercerai pada 28 September 2010.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23; Megat Luqman Hakim Adzmin, 22; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |