KUALA KANGSAR – Mangsa pembunuhan kejam, Nurfisya Zulkifly, 19, disifatkan individu yang menjaga batas pergaulan terutama dengan rakan-rakan lelaki.
Seorang kenalan arwah yang berusia 24 tahun berkata, keluarga remaja tersebut juga tegas apabila tidak membenarkan mangsa begitu mudah berkawan dengan lelaki.
“Setahu saya, arwah memang baik. Dia pernah beritahu dia tiada teman lelaki. Itu sahaja yang saya tahu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Lelaki yang enggan mendedahkan identiti itu mengenali Allahyarham Nurfisya selepas keluarga remaja itu berpindah ke kawasan perumahan di Taman Chandan Putri, Bukit Chandan di sini.
Katanya, hubungannya dengan Nurfisya sekadar kawan biasa selain pernah berkunjung ke rumah terbuka anjuran keluarga mangsa pada Aidilfitri lalu.
Dia mengetahui berita yang menimpa Nurfisya di Ketereh, Kota Bharu lewat petang semalam melalui perkongsian dalam media sosial dan terkejut apabila mendapati mangsa merupakan orang yang dikenalinya.
“Arwah pernah beritahu emak dan ayahnya memang jaga dia betul-betul (tegas), tidak boleh keluar dengan lelaki tidak dikenali,” katanya.
Lelaki itu turut menziarahi kubur Nurfisya yang dikebumikan pada pukul 5.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kuala Kangsar. Jenazah remaja itu tiba pada pukul 4 pagi dari Kota Bharu.
Terdahulu, ahli keluarga mangsa memohon supaya diberikan ruang untuk bertenang selepas melalui detik sukar tragedi itu.
Seorang lagi penduduk Taman Chandan Putri yang mengenali arwah dan keluarga pelajar kolej vokasional itu terkejut dengan kejadian yang menimpa mangsa.
“Dia (mangsa) peramah. Saya kenal dia sejak kecil, dia baik. Sangat sedih dengan berita ini. Diharapkan keluarganya tabah,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan empat individu termasuk sepasang suami isteri warga emas direman bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan gadis tersebut yang mayatnya ditemukan di tepi jalan di Ketereh.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5

















![[VIDEO] Mas kahwin pohon emas RM15,000, Radin sah suami orang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-01-at-21.27.33.jpeg)
![[VIDEO] ‘Cik kak, awaklah kena stop dulu, orang tu main road’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/a3f48aef-4e7d-4afa-83ee-757a33aa716e.jpeg)



























