KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mengelak daripada terjerat dengan implikasi lebih besar sekiranya kekal dengan hasrat membawa isu tujuh pemain warisan ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Dengan bukti yang dikemukakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman yang dikenakan kepada FAM dan tujuh pemain warisan, ia dilihat agak kukuh sekali gus bakal beri laluan berliku sekiranya mahu membawa kes ke CAS.
“Implikasinya mungkin kita akan dikenakan hukuman yang lebih tinggi lagi, saya takut organisasi kita (FAM) digantung juga. Oleh kerana kita nampaknya melawan arus kerana segala bukti-bukti itu telah terbentang di hadapan kita daripada FIFA.
“Jadi apa lagi yang kita nak mempersoalkan? Kalau kamu melanggar mana-mana peraturan pun, terpaksa hadapilah risiko seperti ini, (dikenakan) denda dan sebagainya.
“Yang saya tidak ingin lihat adalah persatuan kita, FAM digantung. Habis aktiviti bola sepak sepanjang masa yang kita kena gantung itu, jadi itu saya harap tidak berlakulah.
“Dari pandangan peribadi, terima sajalah apa yang kita kena pada waktu ini kerana kemungkinan kita akan menerima hukuman yang lebih berat itu ada. Implikasi kalau FAM digantung, liga-liga kita akan terbantut,” kata bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad.
Sebelum ini, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain berkenaan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
6











![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)





![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)






























