KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Kerajaan Malaysia berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd. berhubung penamatan perjanjian pengendalian restoran berputar, Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur.
Asian Kitchen (M) Sdn.Bhd. selaku plaintif adalah salah satu pemegang konsesi yang mengambil alih konsesi Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. dan pengurusan Menara Kuala Lumpur.
Selain Fahmi dan kerajaan, tiga syarikat lain turut dinamakan sebagai defendan ialah Hydroshoppe Sdn. Bhd. selaku defendan pertama, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (defendan kedua) serta MKL Cuisine Sdn. Bhd. (defendan ketiga), manakala Fahmi dan kerajaan masing-masing merupakan defendan keempat dan kelima.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dalam penghakimannya berkata, plaintif kekurangan locus standi (hak dari segi undang-undang) untuk memulakan tindakan mencabar perjanjian konsesi Menara Kuala Lumpur.
Menurut beliau, plaintif merupakan pihak ketiga kepada perjanjian konsesi antara Kerajaan Malaysia dan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., sekali gus tiada kontrak, hak statutori atau kepentingan undang-undang yang boleh mengaitkan plaintif dengan defendan keempat dan kelima.
“Plaintif memang tiada kedudukan undang-undang. Tanpa hubungan langsung, tiada kewajipan undang-undang wujud untuk defendan keempat dan kelima melindungi kepentingan plaintif.
“Tambahan pula, tuduhan tersebut memerlukan bukti niat jahat. Tidak mungkin wujud niat jahat terhadap plaintif kerana tiada hubungan undang-undang antara mereka,” katanya yang memerintahkan plaintif membayar kos berjumlah RM 10,000 kepada defendan keempat dan kelima.
Dalam pada itu, mahkamah turut membenarkan permohonan Hydroshoppe Sdn. Bhd. dan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. selaku defendan pertama dan kedua untuk membatalkan writ serta pernyataan tuntutan plaintif bertarikh 23 April lalu.
Terdahulu dalam pernyataan tuntutan yang difailkan Asian Kitchen selaku plaintif, pada April lalu, pliantif mendakwa defendan kedua (Menara Kuala Lumpur) telah melantik plaintif untuk mengendalikan, mengurus dan menjalankan perkhidmatan makanan dan minum di Menara KL termasuk restoran berputar, ‘Atmosphere 360’ bermula 15 Ogos 2011.
Bagaimanapun, plaintif berkata pada 2 November 2022, pihaknya telah menerima satu notis yang memaklumkan mengenai perubahan pengurusan defendan kedua (Menara Kuala Lumpur) daripada Telekom Malaysia kepada defendan pertama (Hydroshoppe) berkuat kuasa pada 1 November 2022.
Plaintif berkata susulan pengambilalihan saham defendan kedua dan konsesi Menara KL oleh pengurusan baharu defendan kedua, iaitu defendan pertama pada 31 Oktober 2022, satu surat bertarikh 10 November tahun sama telah dikeluarkan bagi menamatkan plaintif sebagai pengendali makanan dan minuman di Menara KL.
Pada masa sama menuntut agar plaintif mengosongkan serta menyerahkan milikan kosong premis tersebut pada atau sebelum 31 Disember 2022, tanpa memberikan sebarang alasan atau berbincang dahulu dengan plaintif.
Plaintif mendakwa pemberian konsesi oleh defendan kedua kepada defendan pertama adalah tidak sah dan terbatal. Plaintif mendakwa sejak diusir daripada premis itu di Menara KL selepas 30 Jun 2023, syarikat berkenaan telah mengalami kerugian dan kerosakan selain mendakwa kerugian itu berpunca daripada penamatan kontrak pekerjaan kira-kira 82 orang kakitangan.
Dalam prosiding ini, plaintif diwakili peguam Arun Ganesh Boopalan dan Andrew Navin daripada manakala defendan pertama hingga ketiga diwakili peguam David Wong Zhi Khang.
Defendan keempat dan kelima diwakili Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim dan Peguam Persekutuan Abdul Hakim Abdul Karim. – KOSMO! ONLINE