Fadhil mahu ganti tempat Jijoe

1 week ago 12

PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menyatakan kesediaan menggantikan tempat Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut dan keirin selepas pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu membuat keputusan untuk bersara.

Fadhil yang semakin menonjol dalam arena berbasikal negara, melihat peluang itu sebagai langkah untuk membuktikan kemampuannya dalam mengisi kekosongan ditinggalkan jaguh negara tersebut.

Bagaimanapun, Fadhil mengakui persaingan mengisi tempat Azizulhasni yang turut mesra disapa dengan nama Jijoe terutamanya ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) amat sengit.

Ini disebabkan Malaysia mempunyai ramai pelumba berbakat seperti Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Ridwan Sahrom, Mohd. Akmal Nazimi Jusena, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri dan pelapis-pelapis muda yang lain.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin merebut peluang ini. Saya tidak katakan sudah bersedia sepenuhnya, tetapi saya akan berlatih dengan lebih keras dan memberikan yang terbaik untuk bersaing dalam acara pecut dan keirin.

“Semua pelumba tahu, dua acara tersebut adalah satu-satunya peluang beraksi dalam kategori individu di Sukan Olimpik. Persaingan adalah sihat kerana setiap pelumba saling memberi cabaran dan mendorong satu sama lain untuk meningkatkan prestasi.

“Pada akhirnya, pelumba terbaik akan menang dan itu yang kita mahu capai untuk pasukan,” katanya.

Fadhil turut mengakui perlumbaan pembuka musim Piala Presiden adalah persiapan terbaik menghadapi kejohanan besar seperti Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 bulan depan.

“Kejohanan berturut-turut sebegini membantu membina stamina dan perasaan perlumbaan. Walaupun penat, ia memberikan pengalaman berharga untuk berdepan cabaran sebenar nanti,” jelasnya.

Fadhil turut menyatakan dia akan terus berusaha dan berlatih untuk mencapai prestasi terbaik di pentas-pentas lebih besar seperti Kejohanan Berbasikal Dunia dan Olimpik LA28.

Read Entire Article
Pertanian | | | |