F1: Gelaran dunia dalam tangan Norris

2 weeks ago 15

SAO PAULO – Pelumba sensasi McLaren, Lando Norris mengakui akan terus memecut laju dan enggan terlalu selesa dengan kedudukan semasa meskipun berjaya meraih kemenangan berganda pada Grand Prix (GP) Sao Paulo awal pagi semalam.

Kejayaan itu menyaksikan Norris kini memiliki kelebihan 24 mata mengatasi rakan sepasukan, Oscar Piastri dalam perebutan gelaran dunia Formula Satu (F1) 2025.

Pada perlumbaan di Litar Interlagos, Brazil tersebut, Norris mempertahankan kedudukan di petak utama sehingga akhir biarpun perlumbaan tersebut dicemari insiden kemalangan.

Norris berjaya mengelak terlibat kemalangan dan menewaskan Kimi Antonelli dari Mercedes dan pelumba Red Bull, Max Verstappen yang bangkit daripada permulaan di laluan pit untuk menaiki podium tempat ketiga.

Piastri pula menamatkan perlumbaan di tempat kelima susulan hukuman penalti 10 saat sekali gus memberi ruang kepada Norris untuk melebarkan jurang dalam kedudukan keseluruhan menjelang baki tiga pusingan musim ini di Las Vegas, Qatar dan Abu Dhabi.

Norris meluahkan kemenangan tersebut sebagai penghormatan kepada bekas Pengarah Sukan McLaren, Gil de Ferran yang meninggal dunia pada 2023.

“Ia perlumbaan yang menakjubkan dan amat bermakna mencipta kemenangan di Brazil. Litar ini hebat dan para peminat sangat luar biasa.

“Kemenangan ini saya tujukan kepada Gil, salah seorang mentor saya sewaktu awal bersama McLaren. Saya pasti beliau akan berbangga dengan kejayaan ini. Ia benar-benar satu hujung minggu yang sempurna,” katanya yang menjuarai GP ketujuh musim ini.

Dalam masa sama, Norris tetap mengakui prestasi cemerlang Verstappen menjadi amaran serius mereka tidak boleh leka, malah perlu terus meningkatkan tahap persaingan.

“Ia kemenangan yang baik, tetapi melihat betapa pantasnya Max hari ini membuatkan saya sedikit kecewa kerana kami tidak cukup laju. Buat masa ini, saya hanya mahu kekal fokus, abaikan semua kritikan dan terus menekan,” jelasnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |