LIVERPOOL – Misi Everton untuk memburu kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris berdepan cabaran menjelang aksi menentang seteru setempat Liverpool pada derbi Merseyside awal pagi esok.
Lebih istimewa, perlawanan menentang Liverpool itu adalah buat kali terakhir di Goodison Park sebelum mereka berpindah ke venue baharu, Stadium Bramley Dock, namun ia mungkin menjadi sukar apabila berdepan isu kecederaan.
Menjelang aksi derbi tersebut, skuad kendalian David Moyes dijangka kehilangan khidmat dua pemain pertahanan apabila Vitalii Mykolenko dan Nathan Patterson yang turut terlepas aksi Piala FA ketika tewas berdepan Bournemouth sebelum ini.
“Saya bertemu Myko dan dia mengakui masih merasai kesakitan pada bahagian betis. Patterson juga mengalami masalah di bahagian hamstring dan aksi menentang Liverpool terlalu awal untuk dia,” kata Moyes.
Kehilangan Mykolenko adalah isu besar buat Everton apabila pemain pertahanan kiri itu berada dalam kesebelasan utama untuk 16 aksi terakhir EPL, manakala sudah beraksi sebanyak 21 kali daripada 23 penampilan musim ini.
Ketiadaan kedua-dua pemain itu menyaksikan Moyes terpaksa menggunakan Jake O’Brien dan Ashley Young di posisi bek tengah, namun percaturan itu tidak begitu berkesan apabila mereka bolos dua gol berdepan Bournemouth.
Berdasarkan prestasi pada perlawanan tersebut, Moyes perlu melakukan percaturan lebih ampuh untuk memastikan mereka terus meninggalkan zon penyingkiran dan meraih kedudukan yang lebih baik dengan meneruskan rentak kemenangan.
Di bahagian serangan menyaksikan mereka turut kehilangan ketiga-tiga penggempur, Dominic Calvert-Lewin, Armando Broja dan Youssef Chermiti selain pemain tengah, Dwight McNeil yang masih dalam proses rehabilitasi selepas pembedahan lutut.
Situasi berkenaan mungkin menyebabkan Moyes terpaksa membuat keputusan menggunakan khidmat penyerang pinjaman dari Flamengo, Carlos Alcaraz untuk menggalas tugas merobek gawang pasukan lawan. – AGENSI