MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim percaya pasukan itu pasti akan kembali melalui tempoh yang gemilang selepas mengharungi musim yang dianggap sebagai ‘malapetaka’ kali ini.
Bercakap selepas United meraih kemenangan pada aksi terakhir menewaskan Aston Villa 2-0 di Old Trafford kelmarin, Amorim bagi pihak seluruh kelab itu terpaksa memohon maaf kepada peminat ekoran prestasi mereka yang teruk.
Musim ini menyaksikan United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan ke-15 sekali gus menjadi rekod terburuk mereka dalam saingan di England selepas kali terakhir tersingkir daripada saingan utama pada 1974.
Mereka juga gagal untuk menyelamatkan musim ini apabila turut kecundang pada aksi final Liga Europa ketika menentang Tottenham Hotspur pada Khamis lalu menyebabkan United buat kali kedua dalam tempoh 35 tahun gagal beraksi di pentas Eropah.
“Saya mahu memohon maaf terhadap apa yang berlaku musim ini. Saya tahu anda semua sangat kecewa dengan saya dan pasukan. Namun, kita perlu membuat pilihan, sama ada terperangkap dengan apa yang telah berlaku atau terus bersatu dan bergerak ke hadapan.
“Enam bulan lalu selepas tiga aksi pertama saya di sini dengan dua kemenangan dan satu keputusan seri, saya mengatakan bahawa ‘ribut’ akan datang membadai pasukan ini.
“Hari ini, selepas ‘bencana’ yang telah kita hadapi, saya mahu memberitahu anda semua bahawa hari yang baik akan menjelma. Jika ada satu kelab dalam dunia yang mampu menghadapi kesukaran seperti ini, kelab itu adalah Manchester United,” katanya.
Dua gol menerusi Amad Diallo dan Christian Eriksen menyaksikan United meraih kemenangan pertama di halaman sendiri sejak Februari lalu, malah mereka berjaya mempamerkan aksi terbaik ketika menafikan hasrat Villa untuk ke pentas Liga Juara-Juara. – AGENSI