EPL: Gyokeres terlepas aksi Sunderland

10 hours ago 7

LONDON – Kecederaan hamstring Viktor Gyokeres menyebabkan penyerang Arsenal itu bakal terlepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang pendatang baharu sedang meningkat naik, Sunderland di Stadium of Light pada Ahad ini.

Gyokeres mengalami masalah itu ketika menewaskan Burnley 2-0 hujung minggu lalu sekali gus terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Slavia Praha yang berkesudahan Arsenal menang 3-0 awal pagi semalam.

Begitupun, kem Arsenal mendapat berita gembira apabila Gyokeres dan empat lagi pemain utama seperti kapten, Martin Odegaard, Gabriel Martinelli, Kai Havertz dan Noni Madueke dijangka cergas sepenuhnya selepas rehat antarabangsa bulan ini.

Ia bermakna kelima-lima bintang The Gunners itu boleh diturunkan dalam pertembungan derbi utara London menentang seteru tradisi, Tottenham Hotspur bagi aksi ke-11 di Stadium Emirates pada 24 November ini.

Berita tersebut pastinya melegakan para peminat Arsenal yang mahukan kelab kesayangan mereka itu terus melebarkan penguasaan di tangga teratas EPL apabila kini memiliki kelebihan enam mata ke atas Manchester City di tempat kedua.

Bagaimanapun, pengurus Arsenal, Mikel Arteta perlu mencari jalan untuk memastikan pasukannya menang ke atas Sunderland terlebih dahulu yang merupakan perlawanan terakhir sebelum saingan liga berehat dua minggu bagi memberi laluan kepada tugasan antarabangsa.

Selain Sunderland diperkuatkan dengan bekas kapten Arsenal, Granit Xhaka, The Black Cats juga ketika ini berada pada momentum terbaik apabila menduduki tangga keempat dengan 18 mata hasil lima kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.

Taktikal dan corak permainan Arsenal pastinya sudah berada dalam ‘poket’ Xhaka yang sebelum ini pernah beraksi di bawah bimbingan Arteta dari 2019 sebelum dia berhijrah menyertai Bayer Leverkusen dua tahun lalu. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |