Enjin pesawat tercabut beberapa saat sebelum berlepas

1 week ago 13

WASHINGTON – Enjin sebuah pesawat syarikat kargo UPS dirakam tercabut daripada sayap dan terbang di udara beberapa saat sebelum ia terhempas dan meletup, mengorbankan 14 nyawa di Kentucky, Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita MailOnline semalam.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) mengeluarkan laporan awal semalam mengenai insiden tragik pada 4 November lalu yang turut meragut nyawa tiga kru pesawat McDonnell Douglas MD-11 dan 11 orang di daratan.

Imej yang disertakan dalam laporan menunjukkan Penerbangan UPS 2976 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali ketika kebakaran besar berlaku.

Salah satu daripada tiga enjin pesawat itu kemudian tercabut, namun masih tidak jelas punca ia terjadi. 

Laporan itu menjelaskan bagaimana ia terpisah dari ‘pylon’ iaitu bahagian yang menghubungkan enjin ke sayap ketika pesawat meluncur di landasan semasa berlepas.

Menurut siasatan NTSB, kebakaran bermula pada enjin kiri ketika ia bergerak sebelum terhempas.

Foto-foto yang dikeluarkan menunjukkan api muncul beberapa saat selepas enjin tercabut.

Ini menunjukkan bahawa kebakaran mungkin berpunca daripada enjin yang tercabut melanggar sayap yang dipenuhi bahan api.

Walaupun kebakaran merebak di bahagian kiri pesawat kargo itu, ia berjaya melepasi pagar lapangan terbang, tetapi tidak terbang lebih dari sembilan meter di atas daratan, demikian menurut laporan.

Laporan itu turut menyertakan kenyataan daripada dua saksi di menara Kawalan Trafik Udara yang memberitahu NTSB bahawa kelajuan MD-11 kelihatan normal.

Susulan nahas maut itu, penyiasat persekutuan mendapati bahawa ‘pylon’ udara kiri pesawat yang membantu mengekalkan enjin di tempatnya mempunyai retakan akibat tekanan berlebihan, demikian menurut laporan. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |