KUALA LUMPUR – Ejen sindiket ditahan selepas cuba menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 untuk membebaskan dirinya serta tiga rakan tekong yang disyaki terlibat dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kota Bharu, Kelantan.
Penahan tersebut dibuat menerusi Op Taring Wawasan Kelantan dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dan Batalion 9 Polis Diraja Malaysia (PDRM), kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi bermula pukul 6.30 pagi itu telah mengesan tiga kereta jenis Honda Civic, Perodua Myvi dan Ativa dalam keadaan mencurigakan di tepi semak di Jalan Sri Cemerlang.
“Ketiga-tiga kenderaan itu telah ditahan sebelum tangkapan dibuat terhadap tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 32 tahun disyaki berperanan sebagai tekong.
“Turut ditahan 16 PATI warga Myanmar membabitkan 11 lelaki, empat wanita serta seorang kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Razarudin, soal siasat terhadap salah seorang tekong membawa kepada penangkapan ejen sindiket berusia 24 tahun berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Kata beliau, ketika dalam perjalanan ke balai polis, ejen terbabit telah merayu untuk dibebaskan termasuk tiga tekong warga tempatan.
“Ejen itu cuba menyerahkan wang tunai berjumlah RM50,000 kepada pegawai operasi berkenaan, namun telah diberi amaran agar tidak berbuat demikian.
“Suspek bagaimanapun cuba menyogok sekali lagi sebelum dia ditahan untuk tindakan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.
Tambahnya, selain sitaan kereta, operasi ini telah merampas telefon bimbit dan wang tunai RM50,000.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.-KOSMO! ONLINE.