KOTA BHARU – Seorang ejen insurans menerima ganti rugi sebanyak RM461,600 apabila menang saman terhadap jiran iaitu dua beranak yang bertindak memukulnya sehingga mengalami gegaran otak dan patah tangan selepas mengalihkan batu bata yang diletakkan mereka di tengah jalan di Perupok, Bachok dekat sini, tiga tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Effendi Nazila Abdullah di Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mendapati Mohd. Amin Hassan, 48, selaku plaintif dicederakan oleh defendan iaitu Zohar Md. Hussain, 55, dan anaknya, Muhammad Izhar Hussaini Zohar, 21.
Effendi Nazila berkata, pihak plaintif berjaya membuktikan kesnya berdasarkan keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak peguam atas imbangan keberangkalian.
Menurutnya, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif sebanyak RM10,000 dibayar oleh kedua-dua defendan.
“Selain itu, mahkamah mengarahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM150,000, ganti rugi teladan (RM300,000), ganti rugi luar (resit bernilai RM100) dan laporan pakar (RM1,500),” katanya semasa menyampaikan keputusan.
Plaintif diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed dan Nik Arisya Syamimi Nik Rozhan manakala peguam, Roshalizawati Muhammad mewakili kedua-dua defendan.
Sebelum ini, Mohd. Amin memfailkan saman terhadap Zohar dan Muhammad Izhar apabila dia mengalami gegaran otak, patah pada bahagian tangan kanan dan luka-luka di badan selepas dipukul kedua-dua defendan di Kampung Tempoyak, Perupok dekat Bachok kira-kira pukul 2.30 petang pada 23 Jun 2022.
Menerusi penyataan tuntutan itu, plaintif pulang daripada mengambil anaknya dari sekolah dengan menaiki sebuah kereta.
Apabila sampai di kawasan kampung belakang pondok, terdapat batu bata diletakkan oleh kedua-dua defendan di tengah-tengah jalan.
Selepas melepasi kawasan itu, plaintif turun dari keretanya untuk mengalihkan batu bata yang sengaja diletakkan kedua-dua defendan sebelum mereka menengking plaintif dengan kata-kata kesat.
Kedua-dua defendan datang meluru ke arah plaintif sebelum memukul bahagian anggota badan plaintif sehingga pengsan dan mengalami kecederaan parah.
Dua beranak itu telah ditangkap dan dituduh di Mahkamah Majistret Bachok dekat sini atas pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

18 hours ago
4














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































