EFL: Spurs tidak rela terlepas aksi final

3 hours ago 2

LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou optimis anak-anak buahnya mampu melakar sesuatu yang istimewa jika berjaya mara ke pentas final Piala Liga Inggeris (EFL) dengan menewaskan Liverpool dalam aksi separuh akhir awal pagi esok.

Meskipun prestasi Spurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini hambar, Postecoglou mengakui gembira apabila pasukannya lebih konsisten apabila beraksi di kejohanan seperti Piala EFL, Piala FA dan Liga Europa.

“Saya tidak tahu bagaimana pendapat orang lain, namun saya rasa kita masih lagi berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menamatkan musim dengan cemerlang.

“Saya pasti pemain tidak terlalu fikirkan mengenai kedudukan liga kerana perlawanan perebutan piala adalah berbeza, kita masih lagi memiliki peluang untuk bergelar juara.

“Justeru, jika semua pihak memberikan komitmen penuh di atas padang, saya yakin kita mampu melakar sesuatu yang istimewa pada saingan musim ini,” kata pengendali dari Australia itu.

Mengulas lanjut, Postecoglou mengesahkan pasukannya sedikit tempang apabila pemain pertahanan, Micky Van De Ven mungkin terpaksa disisihkan kerana belum cergas sepenuhnya.

“Van De Ven baru sahaja pulih daripada kecederaan panjang dan saya tidak mahu terlalu terburu-buru untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama nanti,” katanya.

Sementara itu, pemain sensasi Spurs, Dejan Kulusevski menyeru rakan-rakan sepasukan untuk memberikan yang terbaik pada aksi di Stadium Anfield sebagai hadiah buat Postecoglou yang dikritik hebat sepanjang musim ini.

“Saya setuju dengan kenyataan Postecoglou yang percaya pasukan masih lagi berpotensi untuk menjulang trofi musim ini.

“Kita telah mempamerkan aksi yang menarik ketika bertemu Manchester United serta Manchester City sebelum ini dan mungkin kita boleh menang pada aksi akan datang jika semua pemain komited di atas padang,” katanya.

Kali terakhir Spurs ke final Piala EFL adalah sewaktu bergelar juara edisi 2008 dengan menewaskan Chelsea 2-1 di pentas final. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |