SHAH ALAM – Kehidupan warga emas tanpa anak di Selangor akan dibantu melalui perumahan khas, termasuk rumah, asrama atau bilik hotel bagi memastikan mereka mendapat tempat tinggal selesa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa lokaliti dengan perumahan khusus untuk warga emas sudah mula berkembang, namun kosnya tinggi dan memerlukan pemantauan Exco berkaitan.
“Kita lihat kos meningkat sehingga RM50,000 sebulan di beberapa kawasan, termasuk pengubahsuaian hotel menjadi kediaman warga emas.
“Ini adalah perkara perlu dilihat oleh Exco berkenaan terhadap generasi menua dan bagaimana menangani kelompok itu selain bina pusat warga emas,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu, Ong Chun Wei (PH – Balakong) dalam soalan tambahannya ingin mengetahui sama terdapat pilihan termasuk sewa bilik khususnya warga emas tiada anak agar kadar sewa boleh diturunkan lagi berbanding rumah.
Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua menambah, pihaknya pada masa tidak mahu Selangor menjadi destinasi bagi warga emas luar negara kerana perlu memberi tumpuan kepada warga emas tempatan yang semakin bertambah.
Kata beliau, kerajaan negeri pernah melaksanakan program sewa beli, namun malangnya tidak menunjukkan pembayaran yang baik kerana sebahagian penyewa menganggap rumah itu sudah menjadi milik mereka.
“Perlahan-perlahan mereka culas atau tidak membayar sewa-sewa terbabit. Walaupun secara logik dan atas kertas menyatakan sewa beli lebih baik. Rumah itu, rumah mereka dan akan membayar, duduk dan jaga sebaik mungkin.
“Tetapi realiti tidak begitu iaitu apabila sewa beli mereka tidak membayar kerana menganggap ini rumah mereka. Apabila sewa dan bukan milik mereka, mereka akan bayar sebab bukan milik mereka dan kita pulangkan 30 peratus daripada sewa (selepas tamat tempoh sewaan),” katanya. – KOSMO!ONLINE

1 week ago
14

















































