JEREZ – Spekulasi masa depan Marc Marquez semakin menemui jawapan apabila Ducati memberi bayangan jelas bahawa kontrak pelumba Sepanyol itu menjelang musim 2027 hampir dimuktamadkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali mengesahkan perbincangan mengenai kontrak Marquez dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kini berada di fasa akhir dan hanya menunggu pengumuman rasmi dalam masa terdekat.
“Boleh dikatakan proses pembaharuan kontrak hampir selesai, hanya tinggal beberapa perincian terakhir. Saya rasa pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi,” katanya.
Menurut Domenicali, kelewatan pengumuman melibatkan pelumba-pelumba utama bukan berpunca daripada isu dalaman pasukan semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan rundingan besar membabitkan pihak penganjur MotoGP.
“Semua komunikasi agak perlahan disebabkan rundingan yang sedang berjalan dengan penganjur dan ia memberi kesan kepada perancangan musim 2027. Namun, kami semakin hampir kepada penyelesaian menyeluruh dan saya percaya kejelasan akan diperoleh tidak lama lagi,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Marco Bezzecchi menjadi antara pelumba terawal mengesahkan masa depan apabila menandatangani kontrak baharu bersama Aprilia, sekali gus memberi gambaran awal tentang susunan petak grid 2027.
Marquez yang kini memburu kejuaraan dunia dilaporkan bakal bergandingan dengan bintang muda sensasi, Pedro Acosta dalam skuad utama Ducati, manakala Francesco Bagnaia dijangka menyertai Aprilia.
Dalam masa sama, Marquez hadir ke Grand Prix (GP) Perancis dengan ketinggalan 44 mata di belakang Bezzecchi dalam kedudukan keseluruhan selepas melalui aksi tidak konsisten sebelum ini.
Domenicali bagaimanapun optimis prestasi Marquez akan kembali stabil selepas pulih daripada kecederaan bahu yang sebelum ini menjejaskan momentumnya.
“Kecederaan itu agak serius kerana memaksanya berehat lama. Untuk menunggang pada tahap tertinggi, pelumba perlu berada pada tahap 101 peratus, 98 peratus masih belum mencukupi,” katanya. – AGENSI

5 hours ago
5





![[VIDEO] Pesta air Bukit Bintang tidak gambarkan identiti Malaysia – Pelancong](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-06-at-14.08.20.jpeg)









































