Dua maut Ativa terbabas langgar tiang konkrit jejambat bertingkat

9 hours ago 7

JOHOR BAHRU – Dua maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Ativa di susur Kilometer 14, Lebuhraya Iskandar Sultan, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu, kenderaan yang dinaiki tiga individu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang konkrit jejambat bertingkat di sebelah kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.00 pagi.

“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 16 tahun di bahagian hadapan dan seorang lagi lelaki berusia 18 tahun di bahagian belakang.

“Kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Tampoi sebelum dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

Seorang lagi mangsa yang duduk di bahagian belakang pula mengalami kecederaan parah pada tangan kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Sementara itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin yang tiba di lokasi mendapati semua mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut.

Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan I Firdaus Abdullah berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan dua mangsa yang meninggal dunia kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966 bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |