PETALING – Seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman apabila didatangi tetamu tidak diundang ketika mengadakan majlis tertutup buat keluarganya baru-baru ini.
Pengguna yang dikenali sebagai Nur Aziah berkata, kesemua keluarganya terkejut melihat kehadiran tetamu tersebut kerana tiada di antara mereka mengenali mahupun menjemput ke majlis di rumah.
“Pelik tapi benar. Pada tarikh itu kami buat ‘family gathering’ (majlis berkumpul keluarga), hanya keluarha sahaja tak ada jemput siapa-siapa.
“Tiba-tiba datang dua keluarga ramai berderet bawa anak datang. Saya ingat kawan tuan rumah iaitu kakak saya, kami memang tak kenal. Bila mak tanya nama apa kawan yang jemput, boleh pula dia kata tak ingat.
“Dia tegur suami saya cakap macam kenal tetapi suami saya pun tak kenal dia. Kalau dia beritahu tersilap rumah kami okey sahaja,” katanya.
Tambahnya, tetamu itu memaklumkan mereka dijemput melalui kumpulan WhatsApp.
“Dia cakap kawan die jemput dalam kumpulan WhatsApp. Tak tahu la kawan mana bila tanya tak ingat nama kawan.
“Kalau dia cakap silap rumah kami okey sahaja dia datang makan tetapi tak mengaku tersilap atau sengaja nak datang makan. Memang keluarga family kami ada dekat situ semua tak kenal dia,” ujarnya.
Kata Nur Aziah, dua keluarga tersebut tetap meneruskan menjamu selera di majlis mereka seolah-olah dijemput oleh pihak keluarga tuan rumah.
“Tapi mereka selambe sahaja makan dijemput. Sampai sekarang kami masih tertanga-tanya siapa mereka ini datang makan padahal majlis keluarga sahaja.
“Yang paling tak tahan ‘dessert’ yang kami nak ambil gambar untuk sambut hari jadi licin terus, tengok penuh dekat meja mereka. Nasib tak bawa keluar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.