Ditelanjangkan, dipukul, dipaksa makan daging babi – Muhammad Syafiq

1 hour ago 2

KUALA LUMPUR – “Sampai di sana (Kemboja) saya terus ditelanjangkan, dipukul oleh tujuh hingga lapan individu sekali gus”.

Demikian penderitaan yang dialami seorang ahli perniagaan, Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah selepas menjadi mangsa sindiket penipuan atau scammer di sebuah kawasan di Kemboja hampir sebulan lalu.

Muhammad Syafiq, 40, berkata, selain diaibkan dan didera, dia juga dipaksa menjamah hidangan daging babi hampir setiap minggu serta turut didera mental.

Jelasnya, dia terperangkap di negara tersebut selepas tertipu dengan tawaran kenalannya untuk membuka sebuah restoran di negara itu.

“Pada awalnya, kenalan saya ini memberitahu bahawa di sana (Kemboja) kalau buka kedai makan atau restoran pasti laku kerana ramai rakyat Malaysia bekerja di sana.

“Saya pun setuju dengan idea rakan yang dikenali sejak 12 tahun itu. Saya kemudiannya bertolak ke negara itu pada 27 Oktober lalu sebelum ‘transit’ di Bangkok. Bagaimanapun setibanya di Bangkok, pasport saya dirampas oleh pihak ejen.

“Dari bangkok, saya kemudiannya dibawa ke Kemboja melalui jalan tikus oleh pihak sindiket yang dikawal rapi oleh pasukan keselamatan (askar upahan),” katanya pada sidang akhbar di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Tambah Muhammad Syafiq, ketika sampai di ‘perkampungan’ scammer itu, dia terus dipukul oleh pihak sindiket dalam keadaan berbogel, tujuannya adalah supaya dia tidak melawan dan patuh pada arahan.

“Saya dipukul tanpa belas kasihan oleh tujuh hingga lapan individu. Pada waktu itu, ada beberapa lagi rakyat Malaysia yang turut menerima nasib sama termasuk wanita.

“Selama hampir sebulan saya dikurung dan dipaksa bekerja sebagai scammer tanpa upah satu sen. Saya di tempatkan di bahagian scam khusus untuk rakyat Singapura.

“Sepanjang tempoh sebulan itu juga, saya terpaksa makan makanan yang disediakan pihak sindiket ternasuk daging babi dan dipaksa bekerja antara 12 hingga 15 jam sehari,” katanya yang berjaya diselamatkan sebelum pulang ke Malaysia pada 27 November lalu selepas isterinya membayar tebusan sebanyak RM6,000.

Mengulas lanjut, Muhammad Syafiq berkata, selain dia, terdapat lebih 700 rakyat Malaysia yang terperangkap dan bekerja di bahagiannya.

“Selain itu, terdapat juga bahagian-bahagian lain di ‘perkampungan’ scammer itu seperti love scam serta scam negara-negara tertentu seperti Malaysia, China serta Eropah.

“Secara keseluruhan, di kawasan saya yang saya bekerja itu terdapat lebih 3,000 rakyat Malaysia berusia lingkungan 16 hingga 35 tahun yang menjadi mangsa sindiket scammer.

“Lebih mengejutkan sindiket ini didalangi oleh rakyat kita (Malaysia) sendiri yang membuka pusat operasi di sana,” katanya.

Dalam pada Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihanya menggesa supaya kerajaan campur tangan dalam kes tersebut supaya baki rakyat Malaysia yang terperangkap di sana dapat dibawa pulang segera.

“3,000 ini bukan jumlah yang kecil, jadi seharusnya pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu sama ada menggunakan saluran diplomatik atau sebagainya.

“Selain kes dera mangsa ini (Muhammad Syafiq), ada juga saya terima laporan bahawa mangsa wanita turut dirogol secara bergilir-gilir oleh pihak sindiket dan ada kalangan mereka teperangkap di sana hampir setahun yang lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |