Di manakah Kau Sore ini? simbolik pencarian Atilia Harun

2 hours ago 3

SELEPAS sekian lama tidak menghasilkan karya bersifat peribadi, penyanyi Atilia Harun kembali dengan sebuah single baharu berjudul Dimanakah Kau Sore Ini? yang sarat emosi dan kerinduan mendalam.

Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron, 51, menyifatkan karya tersebut cukup dekat di hatinya kerana lahir daripada kejujuran rasa serta pengalaman jiwa.

“Hari ini, saya memperdengarkan sebuah lagu sangat dekat di hati. Sudah lama saya tidak menulis karya seperti ini.

“Lagu Dimanakah Kau Sore Ini? saya hasilkan bersama Jinx, manakala lirik ditulis sepenuhnya oleh saya sendiri. Ia bercerita tentang cinta, rindu, jarak dan kesetiaan tetap utuh walaupun dua hati dipisahkan ruang serta waktu,” katanya.

Lebih istimewa, lagu tersebut turut dianggap sebagai penghormatan kepada kumpulan muzik kegemarannya, Sore, yang banyak memberi inspirasi dalam perjalanan seni.

“Karya ini juga merupakan surat cinta buat band kegemaran saya. Mereka mengajar saya tentang ketahanan, kelembutan dan keindahan seni sebenar.

“Sore menjadi antara inspirasi terbesar saya dan lagu ini membawa rasa terima kasih itu bersama,” ujarnya.

Tambah anak kepada penyanyi legenda Salamiah Hassan, judul lagu tersebut tercetus daripada persoalan sering bermain di fikirannya, sekali gus diterjemahkan dalam bentuk melodi penuh makna.

“Saya selalu tertanya-tanya, adakah akan ada jawapan untuk soalan saya, ‘Dimanakah Kau Sore ini?’

“Mungkin suatu hari nanti saya akan temui jawapan itu, mungkin juga dalam bentuk irama,” kongsinya. .

Dibalut dengan nuansa balada pop moden, lagu ciptaan Atilia bersama Jinx Chin itu mengetengahkan rasa rindu sunyi, memori serta ikatan halus tetap menyatukan dua jiwa walaupun terpisah.

Karya tersebut turut menggambarkan fasa antara memegang dan melepaskan, apabila senja menjadi simbol peralihan emosi tidak terungkap.

Dimanakah Kau Sore Ini? kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |