Dewan Rakyat: Perdagangan intra-ASEAN diperkukuh

9 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Malaysia komited memperkukuh perdagangan intra-ASEAN yang kini hanya mencatat sekitar 22 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu antara usaha meningkatkan integrasi ekonomi serantau, selain memanfaatkan potensi besar ASEAN sebagai blok dagangan utama dunia.

“Langkah yang telah dilaksanakan sekarang ialah kita menggunakan pembayaran melalui kod QR dan pemindahan tunai antara negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Kemboja.

“Melalui Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), peranan Malaysia dalam sidang ASEAN juga telah diiktiraf,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) berhubung kejayaan dan faedah yang diperolehi oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025; dan apakah hasil yang telah diperolehi oleh Malaysia dari mesyuarat pemimpin-pemimpin ekonomi APEC (AELM) di Korea Selatan baru-baru ini.

Anwar berkata, negara turut mencatat kejayaan penting sebagai pengerusi ASEAN 2025, termasuk penerimaan Timor-Leste sebagai anggota baharu dan penerimaan ASEAN Vision 2045: Our Shared Future yang dirangka oleh Malaysia sebagai hala tuju rantau ini.

“Selain itu, beberapa inisiatif besar turut dimeterai termasuk ASEAN Power Grid dan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) yang dijangka mempercepatkan transformasi tenaga dan ekonomi digital rantau ini,” katanya.

Mengenai AELM AELM) di Korea Selatan baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa negara menggunakan platform itu untuk memperkukuh perdagangan dan kerjasama teknologi dengan negara anggota.

“Dalam sidang itu, Malaysia turut mengusulkan inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) APEC yang menekankan nilai kemanusiaan dan identiti nasional dalam penggunaan teknologi baharu.

“Inisiatif ini diterima, dan ini membolehkan kita tidak terikat sepenuhnya dengan kaedah yang ditentukan kuasa luar,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |