Dewan Rakyat: Pemberi maklumat kes berprofil tinggi dilindungi

13 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Beberapa intipati cadangan telah diperuntukkan dalam pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memperkasakan perlindungan kepada pemberi maklumat kes berprofil tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara cadangan utama pindaan itu adalah penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat.

Menurut beliau, jawatankuasa itu berperanan untuk menyelia pelaksanaan akta tersebut oleh agensi penguatkuasaan, mengumpulkan statistik serta data berkaitan pendedahan dan aduan yang dibuat di bawah Akta 711.

Ujar beliau, pindaan termasuk cadangan penambahbaikan supaya perlindungan kepada pemberi maklumat tetap sah, meskipun pendedahan melibatkan peruntukan kerahsiaan atau tatacara khusus di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

“Pindaan turut memperluaskan perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah seksyen 7, dimana rujukan khusus kepada Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] dalam subseksyen 7(3) bertujuan untuk memperjelas bahawa perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah Akta 711 ini tidak mengehadkan atau menjejaskan sebarang perlindungan lain yang diberikan oleh undang-undang bertulis, termasuk perlindungan komprehensif di bawah Akta Perlindungan Saksi.

“Ini membolehkan pemberi maklumat yang menghadapi ancaman keselamatan untuk dipertimbangkan bagi perlindungan tambahan seperti pemindahan, identiti baharu atau langkah-langkah keselamatan lain di bawah Akta 696, selaras dengan matlamat untuk melindungi mereka daripada sebarang risiko akibat pendedahan yang dibuat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung status terkini serta perancangan kerajaan dalam menjaga keselamatan dan perlindungan terhadap pemberi maklumat.

Menjawab soalan tambahan Ka Siong, Azalina menjelaskan, adalah menjadi amalan dan prosedur di seluruh dunia bahawa pemberi maklumat tidak boleh pergi kepada media, sebaliknya perlu merujuk agensi bertanggungjawab bagi membolehkan mereka menilai kesahihan maklumat diberi.

“Jika pergi kepada media, akan wujud satu premis iaitu perbicaraan oleh media, yang mana orang awam akan membuat keputusan mengenai kesalahan terbabit dan ini tidak adil kepada sistem undang-undang negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |