Dewan Rakyat: Garis panduan penggunaan AI secara beretika di sekolah

13 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses memuktamadkan Garis Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka siap pada September 2025.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan itu bagi memastikan penggunaan teknologi tersebut dilaksanakan secara beretika, selamat dan berpandukan nilai murni.

“Melalui Pelan Pendidikan Baharu (PPPM) 2026–2035, KPM merangka lima fokus utama iaitu kualiti, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan.

“Pelan ini memberi penekanan kepada penjajaran kurikulum dengan realiti pasaran, pembelajaran berasaskan teknologi seperti AI dan pemerkasaan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) berhubung pemerkasaan PPPM bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penerapan teknologi seperti AI dan TVET.

Terdahulu, Fadhlina berkata, pelantar pembelajaran digital DELIMa yang diperkenalkan sejak Julai 2019 dilengkapi 16 aplikasi AI antaranya Gemini, ChatGPT, Bing AI dan Conker AI.

Menurut beliau, ia berperanan membantu guru dalam merancang pengajaran, menyediakan kuiz serta mencipta sumber pendidikan yang dapat meningkatkan produktiviti dan mutu pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, sebagai langkah inovasi, KPM sedang merintis konsep ‘AI-Powered Classroom’ di 11 buah sekolah bagi menyediakan laluan pembelajaran yang diperibadikan dan adaptif.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kurikulum baharu turut memperkenalkan asas AI di peringkat sekolah rendah, manakala penerokaan lanjut aplikasi AI diteruskan di peringkat menengah.

Jelasnya, kurikulum ini dirangka berasaskan kompetensi dengan penekanan terhadap komunikasi, kreativiti, pemikiran kritis, keusahawanan dan literasi digital.

“Fasih Digital merupakan salah satu daripada tujuh kompetensi teras yang digariskan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).

“Kompetensi ini merangkumi keupayaan murid mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran digital secara kreatif dan beretika dalam menyelesaikan masalah serta menghasilkan inovasi melalui pendekatan pemikiran komputasional,” katanya.

Tambah beliau, elemen AI telah diintegrasikan secara progresif dalam kurikulum termasuk melalui mata pelajaran Teknologi dan Digital di sekolah rendah, serta subjek seperti Sains Komputer, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Reka Bentuk dan Teknologi di peringkat menengah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |