Derita isteri jadi ‘bank’ bergerak suami

2 days ago 14

DALAM melayari rumah tangga, ia memerlukan kesefahaman dan sikap bertanggungjawab antara suami serta isteri. Namun bagi Lin (bukan nama sebenar), 37, semua itu semakin pudar seiring bertambahnya usia perkahwinannya.

Suaminya yang dahulu bertanggungjawab mencari rezeki tiba-tiba menjadi seolah-olah ‘biawak hidup’ dan hanya mengharapkan duit gaji Lin yang bekerja sebagai doktor di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Semuanya berubah apabila perniagaan suaminya diuji dengan kerugian sehingga berhutang keliling pinggang. Apabila ditanya kenapa berhutang?

Alasan yang diberikan sama iaitu untuk kembali bangkit membina perniagaan tetapi tidak ada satu pun berhasil.

“Saya tidak sangka suami akan berubah sikap begini apabila perniagaannya jatuh. Walaupun dahulu perniagaan suami tidaklah terlalu besar, tetapi dia seorang yang baik dan bertanggungjawab hingga membuatkan saya bersetuju berkahwin dengannya.

“Jika dibandingkan pendidikan, saya lebih tinggi daripada suami yang hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, kesungguhannya mencari rezeki dan mahu memperisterikan saya membuatkan hati saya terpikat.

“Di awal perkahwinan, suami tidak pernah usik wang gaji saya kerana baginya sebagai ketua keluarga dialah yang patut memberikan segala keperluan untuk keluarga kecil kami,” cerita ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Ada satu ketika, suaminya diuji dengan masalah kewangan kerana ditipu oleh rakan kongsinya. Lin segera mengeluarkan wang simpanan, walaupun tidak diminta kerana kasihankan suaminya itu.

Walaupun sudah menjadi adat berniaga akan diuji dengan kerugiaan, namun Lin tidak nampak usaha suaminya, sebaliknya menjadikan wanita itu sebagai pencari nafkah utama dan ‘bank’ bergerak.

“Memanglah gaji saya agak besar, namun hakikatnya kami tidaklah terlalu mewah, apatah lagi hidup di bandar dengan kos yang agak tinggi.

“Rumah, kereta dan perbelanjaan anak-anak saya seorang yang tanggung.

“Alasan suami pula, dia perlukan masa untuk bina perniagaan dan wangnya hendak dijadikan modal.

“Suami pun sudah berubah, jadi pemalas dan hutang dia saya juga yang bayar.

“Jika saya berbincang tentang perkara ini, suami akan kata saya berkira dan tidak hormatnya sebagai suami kerana berpangkat besar serta berpendidikan lebih tinggi daripadanya,” katanya.

Tambah Lin, disebabkan itu, suaminya berubah perangai menjadi lebih dingin dan pemarah, sekali gus membuatkan mereka tidak bercakap.

Namun, segalanya terbongkar apabila Lin menerima kiriman video di WhatsApp oleh seorang kenalan yang terserempak dengan suaminya bersama seorang wanita ketika daftar masuk sebuah hotel.

Remuk hati ini melihat video berkenaan, terasa segala pengorbanan sia-sia sahaja.

“Alasan suami, dia sudah muak dengan perangai saya yang tidak menghormatinya dan keras kepala.

“Saya jadi begitu kerana perangainya yang berubah, sudah la biawak hidup, hutang pula keliling pinggang termasuk hutang along.

“Saya sudah hilang sabar dan kami akhirnya bercerai kira-kira dua tahun lalu,” ujar wanita berasal dari Kelantan itu.

Kini, Lin lebih selesa bergelar ibu tunggal daripada hidup bersama suami yang tidak bertanggungjawab. Fokusnya adalah hendak melihat anak-anak membesar dengan baik.

Mengakhiri bicara, Lin meninggalkan pesan kepada wanita di luar sana agar berhati-hati memilih calon suami kerana jika tersalah pilih kita akan merana.

Read Entire Article
Pertanian | | | |