LONDON – Datuk Bandar London, Sadiq Khan memuji kemenangan bersejarah Zohran Mamdani daripada Parti Demokrat sebagai Datuk Bandar baharu Bandar Raya New York di Amerika Syarikat (AS), lapor laman berita Independent semalam.
Mamdani, 34, menewaskan bekas Gabenor, Andrew Cuomo dan calon daripada Parti Republikan, Curtis Sliwa semalam untuk menjadi Datuk Bandar beragama Islam pertama bandar raya itu. Beliau juga merupakan individu pertama berketurunan Asia Selatan memegang jawatan tersebut.
Dalam ucapan tahniah di media sosial, Sadiq memuji apa yang beliau sifatkan sebagai kempen bersejarah Mamdani sambil berkata: “Penduduk New York berhadapan pilihan yang jelas, antara harapan serta ketakutan dan seperti yang kita lihat di London, harapan telah menang.”
Dalam ucapan kemenangannya, Mamdani yang akan menjadi Datuk Bandar termuda di New York dalam tempoh lebih satu abad apabila beliau memulakan tugas pada 1 Januari tahun depan berkata: “New York akan kekal sebagai sebuah bandar imigran, bandar yang dibina oleh imigran, digerakkan oleh imigran dan bermula malam ini, dipimpin oleh seorang imigran.”
Lembaga Pilihan Raya bandar raya itu berkata, pilihan raya kali ini mencatatkan jumlah pengundi tertinggi dalam tempoh lebih 50 tahun, dengan lebih dua juta orang mengundi.
Sokongan Sadiq terhadap Mamdani hadir selepas pertelingkahan panjang antara beliau dan Presiden AS, Donald Trump.
Trump berulang kali membidas Sadiq sejak tahun 2015, ketika ahli politik Parti Buruh itu mengecam cadangan beliau yang ketika itu masih menjadi calon presiden. Trump mencadangkan supaya umat Islam diharamkan daripada memasuki AS.
Mamdani ialah anak kepada pembikin filem terkenal India, Mira Nair dan Mahmood Mamdani, seorang penulis Uganda berketurunan India.
Sementara Sadiq yang dilahirkan di Tooting, London Selatan serta berketurunan Pakistan pula dipilih sebagai Datuk Bandar London beragama Islam pertama bagi kota raya itu. – AGENSI

10 hours ago
6










![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)






![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)






























