PETALING JAYA – Lantang dan berani, penyanyi Waheeda tampil menegur segelintir anak seni yang rancak melancarkan lagu raya pada awal Ramadan seolah-olah tidak menghormati bulan puasa.
Malah, pemilik nama lengkap Norwahidah Abdul Wahab, 47, itu lebih kecewa dengan pemakaian sesetengah artis yang terlalu terdedah tanpa menghiraukan sensitiviti ramai.
“Saya ingin menyatakan sesuatu sebagai anak seni dan peringatan kepada rakan-rakan lain. Pada saya sekarang, ini sudah semakin kurang ajar.
“Sekarang, sebelum puasa dan masuk pertengahan Ramadan sudah mula bernyanyi lagu raya serta buat promosi.
“Bukan itu sahaja, dari segi keterampilan pun sudah tidak dijaga,” katanya dalam sebuah audio siar.
Dalam masa sama, pelantun lagu Wassini itu turut menasihati penggiat seni untuk meletakkan kepercayaan atas rezeki yang Allah kurniakan.
“Anak-anak seni takut nak kena keluarkan lagu awal sebab nak promosi? Kenapa, adakah sebab nak bersaing antara satu sama lain.
“Jadi, di mana keyakinan terhadap rezeki Allah? Allah yang naik dan juga turunkan (rezeki).
“Tukar pemikiran kita. Sampai bila masih nak berada di takuk lama?,” tegasnya lagi.
Selain itu, tujuan Waheeda memberikan teguran agar Ramadan akan datang lebih dihormati sebelum terjadi perkara lebih teruk.
“Ramadan ini sepatutnya mengingatkan kita kepada ‘kau tak takut tuhan ke?’.
“Harapnya selepas ini biarlah lebih baik sebab khuatir, kalau macam inilah Ramadan sekarang, kita tak tahu apa akan jadi Ramadan tahun hadapan.
“Sedih sebab bulan al-Quran tetapi tidak dihormati,” tuturnya.
Pendapat penyanyi berniqab itu dipercayai dilontarkan memandangkan ramai artis melancarkan lagu raya sebelum Ramadan tiba.
Malah, ada juga selebriti yang dilihat seksi dalam video muzik sehingga menyebabkannya kurang senang dengan tindakan tersebut. – KOSMO! ONLINE