PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup produk tembakau tidak berkastam selepas menahan tiga kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor, 29 November lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) bertindak menjalankan pemeriksaan rapi terhadap kontena tersebut di Kompleks Kastam Unit I.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 7,303 kilogram tembakau kunyah dan serbuk tembakau dengan nilai dianggarkan sebanyak RM325,000.
“Jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan sebanyak RM2.8 juta,” kata pada sidang akhbar di Kompleks Kastam WPKL, di sini, hari ini.
Jelas beliau, pasukan operasi turut menemukan 7,580 kilogram beras basmathi dan bijirin bernilai RM351,700 dengan cukai sebanyak RM16,680.
Kata Norlela, barangan tersebut ditemui bersama dagangan tembakau dalam kontena berkenaan.
“Sindiket dipercayai mengisytiharkan dagangan sebagai minuman dan makanan pelbagai jenis bagi mengelakkan syarat keperluan permit import,” katanya.
Tegas beliau, tiga wakil ejen penghantaran telah dipanggil untuk membantu siasatan yang kini dilakukan di bawah Akta Kastam 1967.
Mengulas mengenai kes berasingan, Norlela memaklumkan pihaknya turut merampas satu parcel mengandungi dadah jenis ekstasi (MDMA) yang dianggarkan bernilai RM71,810 dalam satu operasi di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 29 Julai lalu.
Menurutnya, rampasan tersebut dilakukan hasil maklumat yang diterima daripada pegawai di pusat mel berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati parcel tersebut mengandungi sebuah kotak berisi pil berwarna jingga yang disyaki dadah jenis ekstasi dengan berat kasar 0.43 kilogram.
“Parcel itu berasal dari sebuah negara di Eropah dan ditujukan kepada penerima di Petaling Jaya, Selangor.
“Hasil semakan mendapati, alamat yang diletakkan adalah palsu. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai diseru untuk terus membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan seperti dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan, dan lain-lain.
Ujar beliau, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti penyeludupan yang melanggar undang-undang.-KOSMO! ONLINE.