Cobra Blacks juara Kejohanan Ragbi C10s Mini

2 weeks ago 20

PETALING JAYA – Skuad muda Akademi Cobra, Cobra Blacks mendominasi sepenuhnya Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (C10s) Mini 2025 bagi kategori bawah 15 tahun (B15) yang berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya.

Lebih mengagumkan, Cobra Blacks berjaya mengekalkan rekod sempurna dalam semua lima perlawanan peringkat awal dan final hujung minggu lalu tanpa membenarkan pasukan lawan meraih sebarang mata.

Ketua jurulatih Akademi Cobra, Datuk Aldillan Anuar berkata, disiplin, hormat, integriti, semangat dan solidariti menjadi asas kepada pasukannya tidak kira sama ada menang atau kalah.

“Terdapat pemain yang tidak terpilih atau mewakili sekolah lain, tetapi tetap saling menyokong satu sama lain sepanjang kejohanan. Ia menepati sasaran akademi yang menetapkan budaya seimbang antara prestasi dan nilai teras.

ALDILLAN (dua dari kanan) bergambar bersama para jurulatih dan pengurus pasukan Akademi Cobra. Foto – AKADEMI COBRA

“Keseluruhannya Akademi Cobra telah menghantar tiga pasukan ke kejohanan berkenaan iaitu dua ke kategori B15 (Blacks dan Stingers) dan satu daripada B16.

“Pasukan B16 menduduki tempat ke-4 daripada 10 pasukan. Daripada 12 pasukan, Cobra Stingers B15 di tempat ke-7, manakala Cobra Blacks muncul juara bagi kategori mereka,” ujarnya.

Dalam lima aksi peringkat kumpulan, Cobra Blacks B15 telah meraih purata 31 mata dalam setiap perlawanan tanpa balas sebelum menewaskan KL Saracens dengan keputusan 28-0 di pentas final.

Keseluruhannya, Cobra Blacks telah merekodkan 184 mata daripada enam perlawanan sekali gus membuktikan struktur pertahanan pasukan yang efektif dengan strategi serangan berbisa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |