PETALING JAYA – Hakikat dunia lakonan menuntut kesabaran tinggi, pelakon Diana Danielle mengakui tempoh menunggu panjang di set penggambaran pernah membuatkan dirinya mudah hilang sabar dan bosan.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, bagaimanapun kini mengubah rutin dengan memanfaatkan setiap detik kosong agar lebih produktif dan bermakna.
“Realitinya, kita banyak menunggu di set. Dulu saya habiskan masa dengan melayari telefon, bersembang kosong dan makan hingga cepat rasa tidak sabar.
“Selalu terdetik, ‘cepatlah nak balik’. Tetapi kita tidak boleh ubah perkara di luar kawalan. Itu memang sifat kerja kita,” katanya dalam Threads.
Tambah bintang filem Imaginur itu, perubahan kecil dalam cara mengurus masa memberi impak besar terhadap emosi dan produktiviti harian.
“Saya mula cipta ‘persekitaran sendiri’ sebelum ke set. Kalau suka membaca, bawa buku. Kalau minat muzik, sediakan alat atau senarai lagu.
“Setiap kali ada masa terluang, terus lakukan hobi. Aktiviti begitu bantu lepaskan hormon gembira malah saya senarai tugasan perlu disiapkan. Ada untuk hari sama, ada boleh dibuat bila-bila.
“Contohnya sunting video, rakam ‘shoutout’, beli keperluan anak, urus barang dapur, balas mesej dan e-mel. Setiap kali ada ruang, saya semak senarai itu dan terus selesaikan satu persatu,” jelasnya.
Ibu dua anak itu turut mengakui ada hari tertentu digunakan sepenuhnya untuk menyiapkan tugasan besar walaupun berada di lokasi penggambaran.
Baginya, pendekatan tersebut bukan sahaja menjimatkan masa, malah memberi ruang untuk berehat bersama keluarga tanpa beban kerja tertangguh.
“Ada masa saya gunakan satu hari penggambaran untuk siapkan tugasan panjang. Setiap kali ada rehat, saya terus fokus pada telefon atau iPad.
“Hasilnya, saya dapat selesaikan dua tugasan besar dan beberapa tugasan kecil dalam sehari. Bila balik rumah, saya boleh rehat dengan tenang sebab kerja sudah selesai.
“Saya ada lebih masa untuk diri sendiri dan anak-anak, selain boleh teruskan tugasan lain keesokan hari,” ujarnya.
Bagaimanapun, Diana mengingatkan agar setiap individu bijak mengatur tenaga kerana kaedah tersebut boleh memenatkan mental jika tidak dikawal.
“Kita kena tahu had diri. Ada hari cukup sekadar fokus pada hobi atau tugasan ringan.
“Apa penting, kita buang rasa ‘menunggu tanpa arah’ sebab itu yang buat kita mudah tertekan dan marah,” katanya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi netizen, rata-rata memuji sikap disiplin dan cara pengurusan masa diamalkan, selain menganggap tip tersebut sebagai panduan berguna terutama buat mereka dalam industri kreatif.
Namun, terdapat juga segelintir pihak berpendapat setiap individu mempunyai cara tersendiri mengurus tekanan ketika bekerja. – KOSMO! ONLINE.

1 day ago
11





![[VIDEO] Pesta air Bukit Bintang tidak gambarkan identiti Malaysia – Pelancong](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-06-at-14.08.20.jpeg)









































