Cabul murid: Guru lelaki ditempatkan di PPD sepanjang siasatan

17 hours ago 11

JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menempatkan seorang guru yang disiasat berhubung dakwaan salah laku seksual terhadap murid di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sepanjang siasatan dijalankan pihak berkuasa.

JPNJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius isu yang tular di media sosial melibatkan sebuah sekolah di negeri ini dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan melibatkan institusi pendidikan.

Menurut kenyataan itu, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk oleh pihak sekolah sehingga membawa kepada penahanan reman guru terbabit bagi membantu siasatan.

“JPN Johor menyeru pihak polis menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh supaya tindakan undang-undang sewajarnya dapat diambil sekiranya individu terbabit didapati bersalah.

“Sepanjang proses siasatan berlangsung, guru berkenaan akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan murid yang terlibat diberikan perlindungan serta kebajikan sewajarnya.

Katanya, JPNJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komusioner Hoo Chuan Huat berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun kira-kira pukul 10.30 malam tadi bagi membantu siasatan.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |