Budak 7 tahun parah, adik melecur main mercun bola

1 month ago 20

KUALA NERANG – Dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun cedera akibat bermain mercun jenis bola dekat rumahnya di Kampung Baru, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, mangsa berusia tujuh dilaporkan cedera parah, manakala adiknya melecur pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 1.32 pagi tadi.

Katanya, laporan tersebut diterima setelah pihak pegawai perubatan menerima dua mangsa yang dikejarkan ke Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.15 malam tadi di sebuah rumah di Kampung Baru, di sini.

“Semasa kejadian, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut menyatakan tidak menyedari kegiatan anak mereka yang bermain mercun di luar rumah,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, mercun dipercayai jenis bola tersebut dikatakan diperoleh daripada rakan sekampung.

“Temu bual ke atas ibu kanak kanak terbabit menyatakan hanya menyedari kejadian setelah terdengar bunyi letupan di luar rumah sebelum bergegas keluar dan mendapati kedua-dua anaknya telah cedera. Sementara bapa kepada mangsa pula tiada di rumah semasa kejadian berlaku,” ujarnya.

“Kanak-kanak yang parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB,” jelasnya.

Tambahnya, satu kertas siasatan telah dibuka bersangkut kejadian itu yang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Difahamkan, kejadian mangsa cedera akibat mercun itu adalah yang pertama berlaku di Kedah, Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |