KOTA BHARU – “Bila hujan lebat saya basah kuyup dan bila ribut saya terpaksa keluar dari rumah dan berteduh di rumah jiran bagi mengelak dihempap kayu dan dinding rumah yang sudah buruk dimakan anai-anai.”
Demikian luahan seorang lelaki warga emas, Mohd. Rani Ibrahim, 61, yang hidup sebatang kara dan hanya dapat berlindung di sebahagian rumah pusaka ibu bapanya yang ranap sepenuhnya di Kampung Bukit Tanah, Peringat, di sini.
Lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam itu berkata, dia enggan berpindah walaupun ribut atau hujan lebat selain diancam binatang pada waktu malam serta ketiadaan bekalan elektrik yang sudah dua tahun dipotong selepas bil tertunggak lebih RM2,000.
“Saya hanya tinggal bersendirian dan setiap malam bergelap ditemani cahaya lilin yang dipasang sebelum tidur bagi mengelak terjerlus lantai reput.
“Rumah saya kini dimasuki binatang berbisa tetapi tidak mencederakan saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (ISejahtera), Datuk Mohammad Hamizan Amzah turut menziarah dan menyampaikan sumbangan barang keperluan kepadanya.
Ujar Mohd. Rani, dia tiada pendapatan tetap atau sebarang bantuan dan hanya mengharap pemberian penduduk untuk membeli makanan dan air minuman.
“Saya mandi guna air telaga yang mempunyai jentik-jentik dan sampah sarap. Saya pernah cedera ringan kerana terjatuh apabila jerlus lantai yang reput.
“Saya duduk di rumah pusaka ini kerana tidak mampu menyewa dan tidak mahu menumpang keluarga kerana takut menyusahkan mereka,” katanya.
Sepupunya Cik Fatimah Che Lah, 74, berkata, dia pernah membantu dan menghulurkan makanan untuk Mohd. Rani.
“Sebelum ini Mohd. Rani pernah cedera dihempap sebahagian rumahnya yang runtuh dengan tiba-tiba.
“Saya pernah memujuk Mohd. Rani supaya tinggal bersama di rumah saya, tapi dia enggan. Saya bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini kerana rumah berkenaan sudah tidak boleh diduduki lagi,” katanya.
Orang ramai yang hendak membantu boleh menghubungi sepupunya menerusi talian 011-1089 8161 kerana Mohd.Rani tidak mempunyai sebarang akaun bank.

7 hours ago
5










![[VIDEO] Sanggup berhujan bersih longkang elak tersumbat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LONGKANG-TERSUMBAT-RIDER.jpeg)






![[VIDEO] Dua video mirip Ketua Pengarah AKPS disahkan palsu](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/Ketua-Pengarah-AKPS.jpeg)































