Berpanas bawah payung, kebajikan pengawal dipersoal

17 hours ago 7

PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan duduk di bawah payung kecil di tepi jalan ketika cuaca panas terik semasa waktu tugasannya, mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh @Ssubah_shini di laman Threads, individu berkenaan dilihat lengkap beruniform sambil bertugas dalam keadaan panas terik dan hanya berlindung dengan payung tanpa tempat berteduh yang sesuai.

Dia mendakwa, situasi tersebut menimbulkan persoalan mengenai tahap kebajikan pekerja tersebut, apatah lagi mereka perlu berada di bawah cuaca panas untuk tempoh yang lama.
“Cuaca mencecah 34 darjah Celsius. Beruniform lengkap. Duduk berjam-jam hanya di bawah payung. Adakah ini sesuatu yang boleh diterima?,” katanya.

Difahamkan, dia telah berhubung dengan pihak penyelia yang berkenaan, namun dimaklumkan keadaan itu adalah berdasarkan arahan pihak pengurusan.

“Payung bukan perlindungan yang sesuai daripada panas terik. Duduk terlalu lama dalam keadaan tersebut bukanlah keselesaan, sebaliknya pendedahan kepada risiko. Mereka juga manusia, bukan mesin,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, orang ra,ai meluahkan kebimbangan terhadap risiko kesihatan yang mungkin dihadapi oleh pekerja tersebut.

Seorang pengguna, @Taqriz_ berkata, situasi itu didakwa melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) kerana boleh menyebabkan strok haba.

“Keadaan ini berpotensi melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana boleh memudaratkan pekerja, termasuk risiko strok haba. Aduan boleh dibuat melalui laman web DOSH,” katanya.

Sementara itu, @Janneannaphilip pula menyifatkan keadaan tersebut seolah-olah merendahkan martabat manusia yang terpaksa bertugas dalam keadaan tidak selesa.

“Saya selalu rasa situasi sebegini agak merendahkan martabat manusia, seolah-olah hanya berdiri atau bertugas tanpa mengambil kira keselesaan. Bagus kerana ada pihak yang tampil bersuara,” ujarnya.

Pengguna @Sugarbutter97 pula mempersoalkan sistem kerja yang dilihat lebih menekankan peraturan berbanding kebajikan pekerja.

“Kalau kerja sebagai pengawal keselamatan, panas atau hujan tetap perlu patuh SOP. Kalau tidak, mula timbul isu potong gaji dan surat amaran. Itulah realiti kerja yang kononnya ‘perlu ikut prosedur’,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |