KUALA KANGSAR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mempraktikkan amalan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang kerap ke daerah-daerah untuk melihat perkembangan rakyat.
Perdana Menteri berkata, beliau melakukan sedemikian bagi memastikan projek-projek kepentingan rakyat tidak terabai.
“Saya sekarang antara lain adalah untuk melawat daerah-daerah. Saya belajar daripada pengalaman Allahyarham Tun Abdul Razak. Dia melawat ke daerah dan tanya tentang projek-projek kecil rakyat.
“Tidak tanya gedung twin towers atau Jambatan Pulau Pinang. Tidak. Yang ditanya sekolah itu diperbaiki atau tidak, tandas rosak atau tidak. Pagar masjid atau bumbung. Hal itu dipantau oleh Pegawai Daerah,” katanya semasa berucap ketika melawat sekolah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan SMK Clifford di sini hari ini.
Anwar juga menegur mereka yang diberikan amanah, supaya tidak melengah-lengahkan projek kepentingan rakyat, dan hanya siap apabila Perdana Menteri ingin turun padang.
“Umpamanya ada tiga tandas di sini yang rosak. Kemudian bila diketahui Perdana Menteri hendak datang, terus siap (dibaiki) petang semalam. Apa mesejnya? Maknanya ada upaya (untuk dibaiki awal).
“Dahulu saya ke sekolah di Perak. Saya beri notis kepada Pegawai Daerah 24 jam. Seluruh jentera daerah itu bekerja dari pagi sampai ke malam dan esok pagi. Semua siap dalam 24 jam.
“Aneh dan luar biasa. Tetapi apa mesejnya? Maknanya mampu kita lakukan. Kalau begitu mengapa tangguh enam bulan atau sembilan bulan,” katanya.
Dalam lawatannya juga, beliau menekankan kerajaan akan terus memastikan soal pendidikan menjadi keutamaan Malaysia walaupun dunia sedang berdepan ketidaktentuan sumber tenaga.
“Pendirian kita sekarang ini adalah untuk memastikan projek-projek (kemudahan pendidikan) diluluskan dan dilaksanakan segera. Bidang pendidikan dan kesihatan diberikan keutamaan,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan dalam sistem pendidikan, penerapan nilai adab perlu ditekankan agar tidak lahir generasi yang semata-mata pintar, tetapi meminggirkan nilai kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
5

















































