BENTONG – Seorang bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang hilang sejak empat hari lalu ditemukan meninggal dunia di dalam kereta yang diletakkan di hadapan sebuah klinik di sini semalam.
Mangsa, Normashita Abd. Manaf,50, ditemukan oleh orang awam berada di tempat duduk hadapan kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mengiring ke kiri.
Difahamkan mangsa yang mempunyai menderita beberapa penyakit termasuk kanser hati berkemungkinan mengalami masalah semput dan cuba pergi ke klinik berhampiran.
Seorang rakan karib mangsa Razita Razali,41, berkata, dia amat terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka kata-kata allahyarhamah yang tinggal bersama adiknya di Shah Alam mahu tinggal 10 hari di Bentong menjadi petanda mangsa akan pergi buat selamanya.
Katanya, dia juga berasa kesal apabila tidak sempat bertemu mangsa memandangkan dia baru kehilangan abang dan ibunya yang meninggal dunia minggu lalu.
“Dia ada hubungi saya Khamis lalu dan saya tanya berapa lama nak duduk sini dan dia kata nak duduk 10 hari sahaja dan genap 10 hari dia sudah tidak ada.
“Saya tak sempat nak jumpa dia, saya cakap hari Isnin jumpa nak bagi pempers,susu, kan mak saya baru meninggal dunia, jadi betul-betul jumpa dalam keadaan macam itu saya ralat,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, dia juga berasa kesal kerana tidak dapat menemani mangsa ke Pekan untuk berubat tradisional menyebabkan mangsa memandu sendiri ke sana.
Dalam pada itu katanya, Allahyarhamah ke Bentong dan tinggal di rumah pusaka keluarganya di Bukit Piatu di sini bagi menguruskan pencen ilat selepas allahyarham menamatkan perkhidmatan awal kerana masalah kesihatan.
Katanya, sebelum ini Allahyarhamah yang merupakan seorang yang mesra dan periang mengajar masakan di Kemas Bentong.
Dia memberitahu Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak di Bentong kira-kira pukul 9 pagi tadi.- KOSMO! ONLINE