KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan banyak van dari Thailand menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) untuk mengambil dan menghantar pelancong di negara ini sejak 1 Januari lalu.
Kenderaan itu dikesan semasa Operasi Saman Tertunggak Kenderaan Pendaftaran Asing Thailand (Ops Tunggak) yang dijalankan sehingga 24 Januari lalu di empat negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, menerusi operasi itu, pihaknya mendapati van dari Thailand memohon ICP, tetapi tidak mematuhi undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, ICP hanya dikeluarkan kepada kenderaan dari Thailand untuk kegunaan persendirian di negara ini selama tempoh 90 hari, namun mereka bertindak mengambil pelancong atau penumpang di sini.
“Siasatan mendapati, kebanyakan pemandu dari Selatan Thailand menyalahgunakan permit yang diberikan dan membawa penumpang semasa operasi dijalankan.
“Pemandu van Thailand itu juga didapati tidak hanya menunggu penumpang mereka di kawasan pintu sempadan negara, sebaliknya mereka bebas bergerak kerana sudah memiliki ICP.
“Berdasarkan siasatan, ada antara mereka dipercayai berperanan sebagai penghantar kepada tukang masak warga Thailand untuk dibawa ke premis-premis makanan di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Setia Khas JPJ Negeri Kelantan di pekarangan parkir awam JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Aedy Fadly memberitahu, sepanjang 24 hari Ops Tunggak dijalankan, JPJ mengambil tindakan terhadap 172 kenderaan dengan sebanyak 619 Notis JPJ(P)22 telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan dan pemandu kenderaan Thailand yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, selain itu, sebanyak 16 van Thailand disita di Kelantan selepas didapati menyalahgunakan ICP termasuk kesalahan tiada lesen memandu dan cermin gelap.
“Daripada operasi itu, kita dapati pemandu van Thailand yang memasuki sempadan negara di Perlis paling banyak melakukan kesalahan melibatkan ICP.
“Berdasarkan rekod, seorang pemandu van Thailand diberikan sebanyak 85 saman bernilai RM25,200 atas pelbagai kesalahan termasuk tiada ICP sejak tiga tahun lalu. Saman tersebut dikumpul dalam tempoh tersebut dan pemandu itu sudah menjelaskannya baru-baru ini sebelum kenderaannya bebas daripada sitaan.
“Sepanjang tempoh operasi itu, JPJ berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM425,104 dengan 332 saman tertunggak telah diselesaikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE