Bantuan makanan ke Congo berisiko terhenti

9 hours ago 10

KINSHASA – Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa ia terpaksa menghentikan sementara bantuan makanan kepada berjuta-juta penduduk yang mengalami kekurangan zat makanan di timur Republik Demokratik Congo (DRC) menjelang Februari tahun depan, lapor akhbar Arab News.

Menurut WFP, situasi itu berlaku disebabkan krisis pembiayaan yang besar. 

“Kami berdepan kekurangan dana paling teruk dalam sejarah. Kami mungkin cuma menerima kira-kira AS$150 juta (RM630 juta) tahun ini,” kata Pengarah Negara WFP untuk DRC, Cynthia Jones. 

Beliau menekankan bahawa jumlah dana untuk membantu penduduk yang memerlukan di negara Afrika Barat itu adalah sebanyak AS$350 juta (RM1.4 bilion). 

Lebih 3.2 juta orang berdepan kebuluran akut di timur DRC, dikategorikan oleh jurang makanan yang ketara dan tahap kekurangan zat makanan tinggi, demikian menurut laporan pemantau makanan global yang dikeluarkan Selasa lalu.

Kawasan itu dibelenggu konflik selama lebih setahun dengan kumpulan pemberontak M23 yang disokong Rwanda melancarkan serangan ke atas wilayah Kivy Selatan, menyebabkan mereka menawan lebih banyak wilayah berbanding sebelum ini. 

WFP sebelum ini menyalurkan bantuan kepada kira-kira satu juta orang dalam sebulan, namun ia terpaksa mengurangkan jumlah itu kepada 600,000 orang berikutan dana yang semakin berkurangan.

“Sekiranya ia terus mencapai 600,000 orang setiap bulan, jumlah itu akan semakin kecil menjelang Februari dan Mac. Itulah realitinya. Begitu teruknya keadaan di sana,” kata Jones.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, WFP menerima dana sehingga AS$600 juta (RM2.5 bilion), namun angka itu menurun kepada AS$380 juta (RM1.6 bilion) pada tahun lepas. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |