SEREMBAN – Sepasang suami isteri terpaksa menanggung kesedihan setiap kali melihat penderitaan dialami anak lelakinya yang menderita penyakit keradangan saraf otak yang jarang ditemui, Multiple Sclerosis (MS).
Mohd. Syahril Bahari 46, berkata, perjuangan anak sulungnya, Muhammad Syamil, 22, melawan penyakit itu bukan sekadar ujian kesihatan, tetapi juga ujian ketabahan bagi seluruh keluarga.
“Segalanya berubah sejak Syamil disahkan menghidap MS. Bermula daripada kejadian dia terjatuh pada penghujung tahun 2022, hidup kami tidak lagi sama seperti dahulu.
“Setiap hari ada sahaja cabaran baharu. Sepanjang tempoh itu, Syamil telah menjalani beberapa rawatan MS yang kompleks dan berimpak tinggi.
“Setiap satu adalah bertujuan mengurangkan kadar serangan serta memperlahankan kerosakan saraf,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Nyior Gading, Ampangan kelmarin.
Menurutnya, selepas melalui beberapa siri rawatan, doktor pakar dari Institut Neurologi Tunku Abdul Rahman, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menasihati agar rawatan khas dimulakan segera dalam tempoh lima bulan ini berikutan penyakit itu menyebabkan keradangan saraf otak merebak dengan cepat.
Namun di sebalik harapan, ada beban besar yang perlu dipikul apabila kos keseluruhan rawatan itu dianggarkan melebihi RM300,000.
“Kami sudah belanja berpuluh ribu ringgit sejak tiga tahun lalu. Wang simpanan termasuklah Tabung Haji, semua kami gunakan untuk rawatan Syamil.
“Tapi bila doktor sarankan rawatan baru iaitu Alemtuzumab, saya dan isteri hanya mampu berserah kerana kosnya terlalu tinggi,” katanya yang bekerja sendiri dan pendapatan sekitar RM2,000.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, pihak hospital dan doktor memberi keizinan untuk keluarga mencari dana luar bagi membiayai rawatan berkenaan dan bersedia mengeluarkan laporan perubatan khas bagi rujukan pihak yang ingin membantu.
“Setakat ini belum ada lagi dana terkumpul. Saya dan isteri hanya berharap agar ada insan prihatin, badan bukan kerajaan (NGO) atau wakil rakyat yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung.
“Anak kami juga mempunyai impiannya sendiri untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan menyambung pelajaran tertangguh apabila sembuh kelak,” katanya.
Sementara itu, mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkannya ke akaun RHB Bank 15504700232481 atas nama bersama Muhammad Syamil Mohd. Syahril, Mohd Syahril Bahari dan Fazila Baharin.

17 hours ago
8










![[VIDEO] Kucing teman penghantar makanan curi tumpuan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-hantaran-pengguna-TikTok-memaparkan-kucing-berwarja-oren-menemani-penghantar-makan-dipercayai-tuannya-mencari-rezeki..jpeg)






































